Keluhan Hashim: Kita tak kacau pun mereka makan khinzir…
Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin menyifatkan pendirian pemimpin DAP dalam isu sijil halal sebagai suara sumbang.
Tanpa menyebutkan nama Teresa Kok yang terpalit kontroversi itu, Hashim mempersoal kenapa mereka “masuk campur” dalam urusan orang Islam.
"Sebab yang pertama undang-undang negara kita tidak pernah menghalang orang bukan Islam nak makan khinzir.
“Dia boleh makan cuma ada kot peraturan-peraturan seperti jangan (makan) terbuka.
"Minum arak, dibenarkan. Jadi pasal apa nak campur pulak hal orang Islam ni yang buat kawalan.
"Tiba-tiba ada pula cadangan untuk tak nak buat sijil halal. Jadi saya rasa terlampau menyentuh sensitiviti kepada umat Islam," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Persidangan As-Sabiqun 4.0 Sempena Muktamar PAS ke-70, di Kuantan, Pahang, hari ini.
Kok diserang hebat kerana menolak cadangan mewajibkan keperluan pensijilan halal terhadap kedai makan yang tidak menghidangkan daging babi dan arak.
Katanya cadangan itu bakal membebankan peniaga dan boleh menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan.
Dia menjelaskan tidak menolak pensijilan itu tetapi hanya menyuarakan masalah yang dihadapi rakyat berbilang kaum.
Sementara itu, Hashim juga menuntut agar PAS membuat bantahan terhadap cadangan dibangkitkan bekas menteri itu.
‘Itu baru 40 kerusi’
Katanya, perangai sebeginilah yang menyebabkan mereka sebelum ini memutuskan hubungan dengan DAP.
"Dan sekarang makin hari makin tunjuklah.
“Itu baru menang 40 kerusi, kalau dia menang 120 (kerusi) rasalah apa yang akan berlaku," katanya lagi.
Bagaimanapun, katanya, penolakan mereka terhadap DAP bukan bermakna mereka tidak boleh berinteraksi dengan pengikutnya dalam masyarakat.
“Itu soal lain,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai