Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

DAP Seputeh: Layanan dua darjat, kenapa polis tak panggil Akmal?

Ketua Pemuda DAP Seputeh, Joel Jalleh mempersoalkan mengapa pihak polis hanya menyiasat Ahli Parlimen DAP, Teresa Kok berhubung kenyataannya mengenai isu pensijilan halal.

Sedangkan katanya, Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh tidak berdepan tindakan oleh pihak berkuasa itu meskipun mengeluarkan kenyataan yang menyentuh mengenai isu 3R (agama, kaum dan raja).

"Video yang dikeluarkan oleh Dr Akmal ini yang sangat tak berasas dan telah menimbulkan salah faham di kalangan rakyat Malaysia menyentuh 3R, (tapi) dia tidak dipanggil polis.

"Kenapa layanan dua darjat, orang lain yang membangkitkan dan membesarkan isu ini tidak dipanggil polis," katanya pada sidang media di luar Balai Polis Sri Petaling hari ini.

Joel, yang diiringi tiga lagi ahli DAP, berkata demikian selepas membuat laporan polis terhadap Akmal.

Kok disiasat berhubung kenyataannya mengenai cadangan mewajibkan pensijilan halal ke atas restoran dan syarikat makanan yang tidak menghidangkan daging babi dan alkohol.

Antara lain Kok berkata cadangan itu bakal membebankan peniaga dan boleh menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan.

Susulan itu Akmal menggelarkan Kok sebagai "Nyonya tua" dan memberi amaran supaya pemimpin DAP itu tidak mencampuri urusan berkaitan agama Islam.

Dia juga secara sinis meminta kerajaan menyediakan logo non-halal untuk “ditampal di dahi” pemimpin DAP itu.

Kok memberikan keterangan kepada pihak polis berhubung isu itu kelmarin, namun menegaskan tiada keperluan untuk pihak berkuasa itu melakukan siasatan terhadapnya.

Semalam dia dipanggil ke ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Putrajaya untuk disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 atas "penyalahgunaan kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian".

Pada hari yang sama Kok mengeluarkan surat tuntutan kepada Akmal bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM25 juta.

Dalam notis yang dihantar oleh peguamnya Sankara Nair and Partners, Kok mendakwa Akmal memutar belit kenyataannya mengenai isu pensijilan halal.

Mengulas lanjut Joel berkata kritikan Akmal terhadap Kok dalam videonya adalah tidak berasas dan mengelirukan, terutamanya berkaitan isu 3R.

"Sebagai pemuda Dapsy Seputeh ingin menyeru polis untuk menjalankan siasatan kepada video yang dikeluarkan oleh Dr Akmal Saleh yang menimbulkan salah faham kepada rakyat Malaysia," katanya.