Muktamar PAS: Antara nikmat patin, barisan pelapis dan k’jaan perpaduan
Daerah 'patin negara' mula menerima kunjungan perwakilan PAS dari seluruh negara sejak semalam hingga kemuncaknya Ahad nanti. Lokasi lebih tepat adalah di Kerdau, Temerloh, yang bakal menjadi saksi berlangsungnya Muktamar PAS kali ke-70.
Menu gulai patin tempoyak sudah tentu akan laku keras sepanjang minggu ini, bahkan mungkin bekalannya tidak dapat ‘dieksport’ keluar dari Temerloh.
Dijangkakan sekitar 5,000 perwakilan daripada seluruh negara akan menghadiri hari keluarga besar PAS yang akan diadakan di Kompleks Al-Makmur Kerdau.
Dalam konteks sejarah PAS, Temerloh akan mengingatkan kita kepada seorang bekas orang kuatnya iaitu Allahyarham Suhaimi Said, seorang peguam dan aktivis PAS yang cekal dalam perjuangan, malah dua kali ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Tragedi berdarah Lubuk Merbau 1985 dan Operasi Lalang 1987 menjadi asbab dia ‘berteduh’ di Kem Tahanan Kamunting masing-masing selama dua tahun dan enam bulan.
Bagaimanapun, Suhaimi kemudiannya mengakhiri penglibatan politiknya bersama PKR sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 5 Nov 2013 akibat kanser tulang dan hati.
Berbalik kepada mesyuarat agung tahunan PAS 2024 kali ini menyaksikan lebih 70 tahun parti itu berdiri dalam arena politik tanah air. Bersimpang-siur jalan dan liku-liku perjuangan dilalui, malah bersilih-ganti barisan pemimpinnya dari zaman ke zaman.
Selepas Abdul Hadi
Pada kali ini Muktamar PAS tidak melibatkan agenda pemilihan kepimpinan, justeru tumpuan dijangka lebih kepada untuk memperkukuhkan ukhuwah sesama pimpinan antara pelbagai peringkat dan sayap-sayap selain menyantuni ahli serta penyokong tegar.
Bahkan kepimpinan dalam PAS sudah tentu tidak menjadi persoalan dalam setiap kali muktamar selagi presidennya Abdul Hadi Awang mengemudi pucuk pimpinan dan menentu percaturan politik parti.
Walaupun struktur hirarki PAS meletakkan mursyidul am sebagai pemimpin tertinggi, situasi semasa menyaksikan Abdul Hadi lebih ke hadapan bahkan menjadi tumpuan utama dalam pelbagai aspek dalam organisasi parti.
Jika diimbau sedikit ke masa silam, keadaannya berbeza. Dapat dilihat bagaimana PAS ketika Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi mursyidul am, kepimpinannya begitu menonjol dan menjadi watak utama serta sumber rujukan mengenai isu-isu semasa, baik dalam negara mahupun peringkat antarabangsa.
Abdul Hadi merekodkan tempoh paling lama berada di kerusi presiden, sehingga pemilihan akan datang mencecah tempoh 22 tahun.
Ahli Parlimen Marang itu telah membina satu jurang lebar antara zamannya dengan bakal penggantinya. Secara tidak langsung, dia meletakkan kayu ukur yang mencabar untuk dicapai bagi memastikan PAS semakin berpengaruh di segenap penjuru negara.
Berdasarkan faktor itu, siapakah paling tokoh untuk mewarisi kepemimpinan utama parti.
Setakat ini, semuanya masih samar-samar. Bagi PAS, untuk menjadi presiden mahupun mursyidul am, seseorang itu harus mempunyai pengaruh dari aspek ketinggian ilmu, kewibawaan memimpin dan sokongan padu untuk diangkat sebagai pewaris kepimpinan tertinggi PAS.
Sayugia diingatkan, proses transisi pewarisan peneraju pucuk pimpinan tertinggi yang perlu diadakan tahun hadapan juga boleh menjadi cabaran tersendiri jika tidak ditangani seperti menarik rambut di dalam tepung.
Menanti usul-usul
Namun, hal itu biarlah menjadi resipi PAS. Tetapi apabila keluarga besar PAS berhimpun, antara yang penting juga adalah untuk ‘menyegarkan’ takat kesetiaan penyokong akar umbi khususnya supaya semakin mendalam dan tidak berbelah-bahagi.
Kesetiaan dan dukungan ahli terbanyak sudah tentu menjadi sifir mudah kepada sesebuah organisasi politik untuk terus berdaya saing dan meraih sokongan.
Dalam muktamar kali ini, perhatian juga harus diberikan kepada usul-usul yang akan dicadangkan, diperbahaskan, diberi pencerahan dan diterima untuk diangkat sebagai dasar atau keputusan baru.
Isu-isu yang berlegar seperti desas-desus PAS akan menyertai kerajaan perpaduan antara topik yang mungkin diketengahkan perwakilan.
Isu tersebut bukan semestinya diketengah sebagai usul cadangan, sebaliknya juga boleh berbangkit supaya parti memberi kata putus agar ia tidak terus menjadi modal spekulasi dan khabar angin berpanjangan.
Selain itu isu kerjasama dengan parti Gerakan mungkin akan menjadi topik yang disentuh perwakilan selepas berlaku kontroversi baru-baru ini.
Ini selepas Pemuda PAS Pulau Pinang yang tanpa berselindung mengalu-alukan tindakan Gerakan jika parti itu memilih untuk keluar daripada gabungan tersebut apabila Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong berkata parti itu tidak akan teragak-agak untuk meninggalkan PN susulan isu mempertahankan pendidikan Cina.
Walaupun pergeseran itu sudah reda, PAS sudah tentu tidak mahu perkara seumpama itu berulang sehingga menjadi liabiliti terhadap perjuangan mereka.
Tumpuan juga dijangka diberikan oleh pimpinan untuk memberi penerangan mengenai penubuhan syarikat SG4 Group Sdn Bhd atas kerjasama antara empat negeri PN.
Kewibawaan Harakah
Strategi dan perancangan korporat dalam usaha meningkatkan pencapaian ekonomi negeri-negeri pembangkang itu sedikit sebanyak perlu diberi kefahaman kepada penyokong mereka.
Sekurang-kurangnya ada banyak bahan boleh disembang para penyokong sambil menikmati keenakan gulai patin tempoyak bersama rodong-rodong (rakan-rakan).
Selain itu kewibawaan media PAS iaitu Harakah kebiasaannya juga akan disentuh perwakilan sama ada dalam aspek prestasi, sambutan, kewangan dan cabarannya.
Misalnya apabila lidah rasmi PAS itu diarahkan mahkamah supaya membayar hutang kepada bekas pencetak Harakah dengan angka yang agak besar sebelum ini.
Apakah keadaan itu menjejaskan kantung kewangan parti berbanding hasil jualan dan sambutan ahli terhadap akhbar parti itu?
Lebih-lebih ketika Harakah tidak terlepas daripada kesilapan apabila ‘tertembak’ kaki sendiri ketika melaporkan isu ketiadaan petugas kaunter di pejabat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) baru-baru ini.
Titik lemah PN
Sementara itu lebih mustahak juga sejauh mana Muktamar PAS kali ini akan membincangkan soal hala tuju parti dalam mendepani cabaran masa depan.
Persoalan seperti persefahaman (MOU) dengan kerajaan persekutuan, kerjasama dalam PN, dan strategi berdepan kemungkinan ada lagi pilihan raya kecil (PRK) atau pilihan raya negeri (PRN) Sabah yang akan berlangsung tahun depan turut dijangka diberi perhatian.
Selepas kegagalan PN mempertahankan kerusi DUN Nenggiri baru-baru ini, prestasi PAS khususnya di Kelantan sudah tentu tercalar.
Keadaan itu menunjukkan wujudnya titik lemah gabungan PN di sebalik kejayaan besar dalam PRU-15 lalu.
Jika diteliti rekod kerjasama politik PAS di masa lalu, tidak mustahil suatu hala tuju atau pendekatan baru diambil yang mampu memberi kesan positif.
Misalnya bagaimana PAS mahu menarik minat golongan bukan Melayu untuk menjadi penyokong mereka ketika prestasi rakan gabungan iaitu Gerakan pun hanyalah ‘suam-suam kuku’.
Malah kemampuan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) juga dilihat agak lesu, bahkan kurang menonjol secara umumnya.
Melainkan jika usul menjadikan DHPP sebagai satu sayap rasmi diluluskan akan memperlihatkan kesungguhan PAS dalam usaha menarik minat bukan Melayu.
Jika tidak, DHPP akan kekal tepu dan selesa untuk dilihat seperti cawangan parti MIC sahaja.
Ini juga memberi petunjuk apakah PAS sebenarnya lebih selesa untuk kembali berkubu di kawasan-kawasan luar bandar seperti di negeri-negeri Pantai Timur dan mempunyai banyak pondok pengajian agama.
Cincang lumat PH-BN
Pentas Muktamar PAS juga tidak akan sempurna jika tidak menyaksikan kritikan keras, pedas dan tajam ditujukan kepada seteru politiknya.
Prestasi kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan timbalannya, khususnya, Ahmad Zahid Hamidi dijangka bakal ‘dicincang’ selumat mungkin oleh perwakilan atau pimpinan di pentas.
Kontroversi semasa seperti isu sijil halal tentunya memberi bola tanggung untuk PAS ‘melibas’ kerajaan persekutuan.
Sasaran kepada DAP khususnya pasti menjadi marah-marah dengan kritikan tajam untuk dihayati para perwakilan dan penyokong mereka.
Selain itu pertembungan suara-suara lantang antara pemimpin kerajaan perpaduan juga dijangka akan menjadi naratif di pentas Muktamar.
Misalnya perdebatan antara pemimpin DAP dan MCA yang dilihat tidak mempunyai keserasian walaupun masing-masing di bawah bumbung Putrajaya.
Begitu juga dengan kelantangan pemimpin pemuda Umno yang dilihat agresif mengkritik kerajaan pusat dalam isu-isu semasa.
Hal-hal sedemikian dijangka tidak akan dipandang sepi bahkan menjadi naratif untuk PAS menghangatkan lagi pentas Muktamar mereka.
Wallahu'alam dan selamat bermuktamar buat seluruh keluarga PAS.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai