Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

GISBH: Kami berdoa fitnah ini dinoktahkan

Global Ikhwan Services and Business Berhad Holdings (GISBH) berdoa agar apa yang disifatkannya sebagai fitnah dan tohmahan terhadap mereka dapat dinoktahkan.

GISBH hari ini mengeluarkan kenyataan bagi menafikan dakwaan yang pihaknya mengeksploitasi kanak-kanak dengan menjadikan mereka sebagai tenaga kerja.

“Kami menafikan tuduhan tersebut dan menegaskan kami sekali-kali tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang, khususnya dalam melibatkan kanak-kanak sebagai pekerja.

“Isu tersebut merupakan satu prasangka, fitnah dan berniat jahat untuk mewujudkan persepsi negatif terhadap GISBH.

“Kami berdoa kepada Allah agar segala fitnah, tohmahan, buruk sangka dan kebencian ini dapat dinoktahkan, mudah-mudahan kita semua dapat hidup berkasih sayang, bertolak ansur dan saling membantu dalam membina masyarakat Madani seperti yang dicita-citakan oleh pimpinan negara yang tercinta ini,” kata GISBH.

GISBH ditubuhkan oleh bekas ahli-ahli kumpulan Al-Arqam yang telah diharamkan kerajaan.

Namun, syarikat itu sebelum ini beberapa kali menafikan sebarang perkaitan dengan kumpulan itu.

Pada Sabtu lalu, polis mengesahkan menerima empat laporan berkaitan eksploitasi kanak-kanak.

“Laporan tersebut dipercayai berkaitan eksploitasi kanak-kanak untuk pungut dana, derma dan sebagainya, mungkin ada lain (laporan) yang sedang dikumpulkan,” kata Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay seperti dipetik Utusan Malaysia.

Sebelum ini,  Jabatan Kemajuan Islam malaysia (Jakim) juga diarahkan mengadakan pertemuan dengan GISBH susulan dakwaan itu serta satu lagi dakwaan, iaitu berkenaan ajaran sesat.

Mengulas lanjut, GISBH menegaskan dakwaan itu satu prasangka, fitnah dan berniat jahat untuk mewujudkan persepsi negatif terhadap mereka.

“Pendirian kami amat jelas untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan mendukung aspirasi kerajaan dalam membangunkan negara,” katanya lagi, sambil menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan pihak berwajib.

Hari ini pula, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata polis menyerbu premis GISBH sekitar Selangor dan Negeri Sembilan selepas menerima laporan berhubung dakwaan pengabaian kanak-kanak, amang seksual dan perbuatan cabul terhadap kanak-kanak di rumah penjagaan dipercayai milik syarikat itu.

Razarudin berkata, seramai 402 kanak-kanak berjaya diselamatkan manakala 171 suspek ditahan.

Dia juga mendakwa, berdasarkan risikan dan keterangan, kanak-kanak tersebut diajar meliwat, serta menjadi mangsa liwat oleh penjaga dan dipaksa meliwat penghuni kanak-kanak yang lain.

Kenyataan GISBH bagaimanapun tidak menyentuh berkenaan kenyataan Razarudin hari ini.