Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 11 hari diterbitkan

Kerajaan bukan zalim, tapi tak akan kompromi isu 3R - PM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan pentadbirannya bersifat kuku besi dalam soal isu 3R, iaitu kaum, agama dan istana.

Pada masa sama, Anwar menegaskan dia tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan rakyat.

“Ada pembangkang mengatakan kita zalim, (kata) tak boleh bicara isu 3R. Tak betul.

“Kalau nak bicara soal agama Islam atau agama lain, nak bicara soal kaum, tak puas hati atau nak bantah, itu semua diizinkan.

“Apa yang tak diizinkan (adalah) hasutan, ajakan ke arah keganasan atau menimbulkan pergaduhan antara kaum,” katanya.

Anwar yang juga pengerusi PH - gabungan yang lantang menentang undang-undang yang menindas seperti Akta Hasutan pada masa lalu - berkata undang-undang yang terlalu longgar boleh membawa kepada salah guna.

Pada masa sama, dia mengakui undang-undang yang terlalu ketat juga boleh membawa kepada masalah-masalah lain.

Semalam, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mendakwa kerajaan melihat perjuangan pembangkang untuk mempertahankan kedudukan Islam dan bumiputera sebagai kesalahan 3R.

“Ironinya, kerajaan ini ketika di zaman pembangkang dahulu kuat memperjuangkan hak dan kebebasan rakyat atas nama reformasi. Hari ini mereka menjadi diktator paling rakus.

"Mereka tanpa segan silu menggunakan instrumen undang-undang dan institusi kerajaan untuk menyekat kebebasan bersuara rakyat, khususnya lawan politik mereka," katanya.

Sebelum ini, Muhyiddin turut didakwa di bawah Akta Hasutan berhubung kenyataannya dalam soal pelantikan perdana menteri selepas PRU15.

Dalam ceramah semasa kempen PRK Nenggiri di Kelantan, dia berkata bekas Yang di-Pertuan Agong tidak mengundangnya ke Istana Negara untuk mengangkat sumpah sebagai perdana menteri walaupun memiliki sokongan majoriti.

Kenyataan itu mengundang murka istana Pahang, dengan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang berkata Muhyiddin telah memperlekeh dan mempertikaikan tugas Al-Sultan Abdullah ketika menjadi Agong.

Muhyiddin kemudian berkata kenyataannya berdasarkan fakta dan bukan bertujuan menghina institusi raja Melayu.