PGA9 tumpaskan sindiket seludup karkas babi bernilai hampir RM400,000
Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) menumpaskan sindiket penyeludupan karkas babi berjumlah 10,000 kilogram (kg) dengan anggaran bernilai RM400,000 menerusi Op Taring Wawasan dijalankan di sekitar kawasan Pasir Mas, Kelantan, semalam.
Komander Briged Tenggara PGA SAC, Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata sepasukan anggota menahan sebuah kenderaan jenis Isuzu dipandu seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun dalam keadaan mencurigakan di kawasan rondaan pada 12.30 tengah malam.
"Hasil pemeriksaan mendapati anggaran lebih 10,000kg karkas babi dipercayai diseludup dari Thailand ditemukan dalam kenderaan itu.
"Suspek seorang lelaki tempatan dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup binatang tersebut ke pasaran tempatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 36 (1) Akta Binatang 1953 manakala suspek dan barang rampasan diserahkan ke Komtak Taman Bakti untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Nik Ros Azhan berkata pihaknya turut merampas pelbagai jenis alat ganti motosikal berkuasa tinggi bernilai RM435,000 dekat Pengkalan Kubor, Tumpat, Jumaat lepas.
"Tangkapan dan rampasan dilakukan selepas pihaknya menahan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan pada 8.30 pagi bersama pemandunya seorang lelaki berusia 40 tahun.
"Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai jenis alat ganti motosikal berkuasa tinggi ditemukan dalam lori tersebut tanpa dokumen yang sah," katanya.
Beliau berkata suspek dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup alat ganti tersebut dari Thailand ke pasaran tempatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai