Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Fahmi hairan TikTok biarkan saja kandungan berisiko undang jenayah

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyuarakan rasa hairannya dengan platform media sosial seperti TikTok yang dilihat membenarkan akaun pengguna yang boleh menjurus kepada perbuatan  jenayah melibatkan kanak-kanak beroperasi terlalu lama.

Fahmi yang juga jurucakap kerajaan merujuk kes seorang pemandu bas yang merakam video murid sekolah rendah dan memuatnaiknya di TikTok.

Dia berpandangan ia tidak seharusnya berlaku dan memaklumkan dia telah meminta TikTok memberi maklumat mengenai kes tersebut.

“Bila kita lihat kandungan yang dimuat naik dalam akaun tersebut, bagaimana TikTok boleh membenarkan akaun seperti itu beroperasi dengan begitu lama.

“Saya risau apabila saya meneliti komen-komen dalam kandungan itu, ia seolah-olah membolehkan beberapa jenayah lain untuk turut dilakukan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Persidangan Perundangan Antarabangsa Berkenaan Ancaman Dalam Talian 2024 di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu hari ini, polis berkata pihaknya telah menahan lelaki itu dan merampas telefon yang dipercayai digunakan untuk memuat naik video tersebut.

Ketua Polis Johor M Kumar berkata lelaki berusia 24 tahun itu ditahan pada kira-kira pukul tiga pagi tadi di Simpang Renggam dan kini disiasat di bawah Seksyen 15(a)(iii) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Seksyen 15(2) Akta Kanak-kanak 2001.

Akaun TikTok suspek memiliki lebih 640,000 pengikut dan memaparkan rakaman dia sedang memandu bas dengan kanak-kanak yang menaikinya dapat dilihat dengan jelas.

Dalam satu video yang dimuat naik, dia merujuk seorang penumpang kanak-kanak sebagai “crush” dan mengeluarkan kata-kata tentang kanak-kanak yang dilihat ramai pengguna media sosial sebagai tidak wajar.

Malah, ketika membalas komen seorang pengikut yang berkata dia membuatkan kanak-kanak itu tersipu-sipu, dia berkata sedang menunggu kanak-kanak itu menjadi dewasa.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan bekerjasama dengan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman untuk mengenal pasti pihak lain yang disyaki terlibat melakukan sebarang pelanggaran undang-undang di media sosial.

Dia berkata platform media sosial yang ingin beroperasi di Malaysia juga perlu faham dengan kerangka kawal selia dan undang-undang yang berkaitan.

Fahmi turut mengingatkan semua pihak termasuk guru agar tidak memuat naik kandungan melibatkan kanak-kanak. 

“Ia merupakan satu pelanggaran undang-undang termasuk akta kanak-kanak dan saya akan berhubung dengan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek untuk pastikan isu ini turut difahami oleh guru-guru,” katanya lagi.