Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

'Kenapa DAP tak biarkan pemimpinnya berundur secara terhormat?

Adalah malang dan menyedihkan bagi pemimpin yang sudah lama berkhidmat seperti Chow Kon Yeow untuk diletakkan dalam kedudukan yang sukar, kata bekas ahli jawatankuasa pusat DAP Teng Chang Khim.

Mengulas mengenai keputusan Chow untuk tidak bertanding semula dalam pemilihan DAP Pulau Pinang akan datang, Teng berkata Chow bakal menjadi ketua menteri "yang tidak berfungsi" selepas hilang peranan dalam kepimpinan partinya.

“Pada masa depan, dia tidak mempunyai kedudukan sebenar dalam struktur parti negeri. Saya rasa ini sebenarnya keadaan yang agak menyedihkan kerana dia telah menjadi ahli jawatankuasa pusat dan pengerusi negeri selama beberapa dekad.

“Untuk mengumumkan bahawa dia tidak akan bertanding dalam keadaan sedemikian adalah sangat memalukan dan menyedihkan.

"Mengapa parti tidak boleh membenarkan pemimpin dan ketua kerajaan yang sudah lama berkhidmat dan terkenal ini berundur dengan terhormat?” katanya kepada Malaysiakini semalam.

Dia berkata ramai pemimpin dalam parti sebelum ini yang dipaksa berundur, malah didesak supaya keluar parti, dan keadaan itu kini berlaku kepada Chow.

Teng berkata demikian semasa wawancara untuk podcast berbahasa Cina Malaysiakini , yang disiarkan melalui YouTube, Spotify, Apple Podcast semalam.

Teng berkata dia tidak terperanjat dengan pengumuman Chow itu, tetapi terkejut kerana keputusan itu dibuat ketika pemilihan DAP Pulau Pinang akan berlangsung tidak lama lagi.

“Kenapa dia pilih kali ini? Saya agak terkejut. Cara saya melihatnya, dia pasti tidak mempunyai masa yang cukup untuk memikirkannya; dia tidak memikirkan isu ini terlebih dahulu. Pada saya, ini adalah situasi yang malang,” katanya.

Teng turut menyifatkan Chow sebagai seorang ahli politik yang tidak begitu mahir atau tidak berminat dengan gerakan politik walaupun sudah lama berkecimpung dalam arena itu.

“Dia hanya mengikut perkiraan parti dan menjadi ketua menteri. Dalam parti, penggantinya bukan ditentukan olehnya untuk membuat keputusan, dan itulah sebabnya dia berada dalam situasi ini,” katanya.

Menurut Teng, kuasa Chow berkurangan selepas pilihan raya negeri tahun lalu, yang menyebabkan dia hanya memiliki beberapa penyokong dalam exco kerajaan negeri.

Dia percaya Chow sepatutnya mengumumkan keputusannya untuk tidak menyertai pemilihan parti itu di Pulau Pinang lebih awal.

“Ini yang saya rasa sangat pelik. Jadi, saya katakan dia tidak melakukan banyak persediaan mental dalam hal ini; dia tidak membuat rancangan yang rapi.

"Chow mungkin seorang yang tidak banyak berstrategi. Jadi dalam situasi ini, saya percaya mungkin ada pihak yang menekannya untuk membuat pengumuman ini pada waktu ini bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk," katanya.

[Baca berita penuh]