Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Agama dan konflik: Paus, imam besar Indonesia buat deklarasi bersama

“Fenomena nyahkemanusiaan (dehumanization) di peringkat global ditanda khususnya dengan konflik dan keganasan yang kian meluas. Amat membimbangkan apabila agama sering digunakan dalam hal ini.

“Peranan agama seharusnya termasuklah mengangkat dan menjaga maruah setiap manusia,” menurut deklarasi bersama yang ditandatangani Paus Francis dan Imam Besar Masjid Istiqlal, Nasaruddin Umar.

Dalam ucapan di depan pemimpin enam agama yang diiktiraf di Indonesia - Islam, Protestan, katolik, Buddha, Hindu dan Confucianisme - Francis berkata “kita semua bersaudara, semuanya penziarah, semua dalam perjalanan kita menuju Tuhan, melangkaui apa yang membezakan kita.”

Menurut AFP, Francis yang kini dalam siri kunjungan di Asia Pasifik, disambut dengan muzik genderang yang sering digunakan dalam acara Islam, ketika melawat Masjid Istiqlal.

Francis dan Nasaruddin kemudian didengarkan ayat-ayat daripada Quran dan Bible yang dibacakan oleh seorang remaja perempuan yang buta.

Deklarasi mereka turut membangkitkan kepentingan mengambil “tindakan tegas” terhadap krisis alam sekitar yang mengancam peradaban manusia.

“Eksploitasi manusia terhadap ciptaan Tuhan, rumah kita bersama, telah menyumbang kepada perubahan iklim,” menurut mereka.

Mereka berkata perubahan iklim telah menyebabkan “pelbagai akibat yang membinasakan seperti bencana alam, pemanasan global dan cuaca yang tidak menentu”.

Bercakap dengan AFP, Nasaruddin berkata terdapat dua pesanan yang menjadi tumpuan pertemuan mereka.

“Pertama…kemanusiaan adalah satu tanpa mengira perbezaan warna. Kedua, bagaimana untuk selamatkan alam sekitar kita,” katanya.