Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 15 hari diterbitkan

Anwar nafi kerajaan bincang laksana semula GST

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata kerajaan tidak pernah membincangkan untuk melaksanakan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebagai alternatif kepada pemotongan subsidi.

Anwar, yang juga menteri kewangan berkata perbincangan tertumpu kepada strategi belanjawan dan cara untuk meningkatkan hasil kerajaan dalam usahanya untuk menangani isu kenaikan kos.

“Tiada yang khusus (mengenai GST) telah dibincangkan. Sesebuah negara tidak boleh ditadbir berdasarkan khabar angin,” katanya pada sidang media hari terakhir lawatannya ke Rusia, di Vladivostok hari ini.

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai laporan oleh agensi berita asing Bloomberg baru-baru ini yang melaporkan Malaysia sedang menimbang untuk melaksanakan semula cukai tersebut bagi menggantikan pemotongan subsidi untuk petrol yang biasa digunakan ketika kerajaan berusaha untuk meningkat kewangannya.  

Anwar berada di Vladivostok sempena menyertai Forum Ekonomi Timur (EEF) ke-9. Lawatan kerja dua harinya ke bandar pelabuhan terbesar di rantau timur jauh Rusia ini berakhir hari ini.

-Bernama