Kerabat Pahang didakwa serang penambak jalan dengan pisau, pistol
Seorang kerabat diraja Pahang bersama sekumpulan orang didakwa menyerang seorang lelaki menggunakan senjata tajam dan pistol sehingga mendatangkan kecederaan.
Alias Awang, 44, mendakwa dia menjadi mangsa serangan berkumpulan itu di sebuah kandang kuda di Kuantan, Jun lalu.
Pekerja pembinaan dan penyelenggaraan jalan itu memberitahu Malaysiakini, dia dihubungi oleh seorang individu dipercayai orang suruhan anak kerabat berkenaan untuk bertemu dengannya.
"Saya diserang oleh kira-kira 20 orang termasuk anak Tengku berkenaan. Dalam kejadian itu seorang rakannya telah menyerang saya dengan menikam peha kanan saya dengan pisau.
"Anak Tengku berkenaan pula melepaskan tembakan ke arah kaki saya, namun tidak mengenai sasaran,” dakwanya yang membuat laporan polis pada 8 Jun, dua hari selepas kejadian.
Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan respons kerabat terbabit serta istana Pahang.
Alias, Bapa kepada lapan orang anak itu berkata, dia difahamkan serangan terhadapnya dibuat susulan pertikaian berkaitan isu tanah di Rompin, yang dia terlibat dalam pembinaan jalan di situ.
Berdasarkan laporan polis yang dilihat Malaysiakini, Alias membuat laporan polis di Kuantan, Pahang, selepas mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.
Alias mengalami kecederaan di bahagian paha dan menerima beberapa jahitan serta luka di bahagian kaki.
Dia bagaimanapun menolak untuk ditahan di hospital, sebaliknya mahu melakukan penjagaan sendiri di rumah.
Berdasarkan laporan polis berkenaan, Alias mendakwa diserang sebaik tiba di lokasi kejadian dengan ditarik masuk ke dalam kabin kandang kuda.
Alias berkata, setakat ini dia telah dua kali dipanggil memberikan keterangan, termasuk terbaru beberapa hari lalu.
"Terbaru, beberapa hari lalu pihak polis memanggil saya ke balai untuk mendapat pengesahan saya nama pelaku yang telah menikam paha saya," katanya lagi.
Polis tahan 3 suspek utama
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan Wan Mohd Zahari Wan Busu ketika dihubungi Malaysiakini berkata polis membuka siasatan bawah Seksyen 324 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan kerana merusuh.
Katanya, seramai tiga orang lelaki yang disyaki sebagai suspek utama dalam kes berkenaan telah ditangkap dan direman tujuh hari bagi membantu siasatan, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Dua lagi individu juga ditahan dan dibebaskan selepas keterangan mereka direkodkan, tambah Wan Mohd Zahari.
Pegawai polis itu bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen atau mengesahkan mengenai penglibatan seorang kerabat diraja dalam kejadian tersebut.
"Kita sudah membuat tangkapan terhadap suspek utama dalam kes ini," kata Wan Mohd Zahari.
Ditanya mengenai dakwaan mangsa berkenaan penggunaan sepucuk pistol dalam kejadian itu, dia berkata polis masih memeriksa dakwaan tersebut.
"Kita lihat sekiranya ada keperluan untuk siasat, kita akan siasat lebih lanjut (mengenai dakwaan tembakan),” katanya.
“Setiap sudut kita siasat," tambahnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai