Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 16 hari diterbitkan

Kabinet hampir setiap minggu bincang soal MAS - Anwar

Jemaah menteri membincangkan masalah yang melanda Malaysia Airlines (MAS) hampir setiap minggu, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim hari ini.

"Hampir setiap minggu dalam jemaah menteri, (menteri kewangan II), Amir Hamzah (Azizan) pun ada sini tahu, bahawa dia hampir setiap minggu tanpa kecuali, kita bincanglah soal ini bagaimana untuk bantu menyelamatkan (MAS)," katanya ketika berucap pada majlis sambutan ulangtahun ke-30 Khazanah Nasional di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam sidang akhbar kemudiannya, Anwar berkata kerajaan komited untuk menyelamatkan syarikat penerbangan nasional itu melalui apa jua cara.

Semalam, dilaporkan bahawa sebuah pesawat MAS yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan, terpaksa berpatah balik.

Sebagai respons, MCA mengulangi gesaan agar Menteri Pengangkutan Anthony Loke membantu syarikat penerbangan nasional itu dengan lebih serius.

Ketua Pemuda MCA, Mike Chong berkata, ini adalah insiden kelima melibatkan MAS sejak Jun lepas.

Bulan lalu, Presiden MCA Wee Ka Siong, yang merupakan menteri pengangkutan sebelum ini, menggesa penggantinya dan kerajaan menyiasat serta membantu MAS, yang dikatakannya mengalami "krisis keyakinan."

Namun, sebagai respons, Loke memintanya supaya tidak mencetuskan suasana panik.

Wee menyenaraikan insiden yang melibatkan penerbangan MAS sejak awal 2023:

9 Jan 2023 - Sebuah pesawat Airbus A330 milik MAS mengalami masalah sistem bahan api yang serius semasa penerbangan dari Kuala Lumpur ke Melbourne, menyebabkan pendaratan cemas di Melbourne. Pesawat itu mendarat dengan selamat dan tiada kecederaan dilaporkan.

3 Apr 2023 - Sebuah pesawat MAS terpaksa berpatah balik ke Kuala Lumpur sejurus selepas berlepas kerana mengalami masalah teknikal pada pesawat. Kejadian ini menarik perhatian kerana laluan penerbangan yang tidak menentu, yang diperhatikan oleh penumpang dan pengawal trafik udara.

10 Jul 2023 - Penerbangan sebuah pesawat MAS yang dijadual menuju ke Kuching terpaksa dibatalkan di KLIA selepas mengalami masalah teknikal. Penerbangan ditangguhkan tetapi semua penumpang selamat.

14 Sep 2023 - Sebuah pesawat Boeing 737-800 MAS mengalami gangguan di landasan semasa berlepas di Lapangan Terbang Melbourne. Pesawat meneruskan penerbangan selepas masalah diselesaikan. Insiden ini berlaku beberapa hari selepas gangguan landasan serupa oleh syarikat penerbangan lain di lapangan terbang yang sama, menyebabkan siasatan oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Australia.

20 Jun 2024 - Sebuah pesawat menuju ke Kuala Lumpur membuat pendaratan emas di Lapangan Terbang Hyderabad di India kerana masalah enjin. Penerbangan tersebut membawa lebih 100 penumpang dan semua mendarat dengan selamat.

24 Jun 2024 - Penerbangan MH780 dari Kuala Lumpur ke Bangkok terpaksa berpatah balik ke KLIA kerana masalah tekanan udara. Pesawat tersebut membuat pendaratan kecemasan tetapi mendarat dengan selamat.

16 Ogos 2024 - Sebuah pesawat dari Melbourne ke Kuala Lumpur terpaksa membuat pendaratan kecemasan di Alice Springs, di Wilayah Utara Australia, kerana masalah enjin.