Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

MOU peruntukan MP: Kerajaan anggap cara PN tak bertertib

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menasihatkan PN agar membawa rasa tidak puas hati mereka pada draf memorandum persefahaman (MOU) secara bertertib.

Kata Fahmi ia boleh dibincangkan secara baik dengan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusoff yang bertanggungjawab menangani urusan perbincangan di antara kerajaan dengan pembangkang.

Dia yang juga jurucakap kerajaan berkata Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Takiyuddin Hassan, juga perlu belajar daripada pembangkang sebelum ini (PH) dalam mengendali isu tersebut.

“Waktu kami pembangkang, kami berbincang dengan perdana menteri pada waktu itu, (iaitu Ahli Parlimen) Bera (Ismail Sabri Yaakob).

"Kami tak bincangkan perkara ini dengan media," katanya dalam sidang media mingguan di Putrajaya hari ini.

Tambah Fahmi, jika Takiyuddin dan PN mengambil langkah dengan bertertib, tiada masalah akan timbul.

"Datuk Seri Fadillah telah menyatakan, ini adalah draf… (kalau ada isu) datanglah jumpa, sampaikanlah pandangan, kita boleh bincang,” katanya lagi.

Fahmi berkata demikian sebagai mengulas rasa tidak senang PN dengan draf MOU tersebut, khususnya melibatkan tujuh syarat yang ditetapkan.

Menganggap ia sebagai "pelik sedikit", Takiyuddin juga menyatakan rasa tidak setuju dengan langkah kerajaan mensyaratkan agar ahli parlimen mengisytiharkan harta masing-masing sebelum peruntukan untuk mereka disalurkan.

Takiyuddin yang juga ahli Parlimen Kota Bharu berkata, draf MOU berkenaan diterimanya pada 6 Ogos lalu namun belum dibincangkan secara mendalam.

MB banyak main politik

Fahmi berkata untuk merungkaikan rasa tidak senang mereka, Takiyuddin boleh mengadakan pertemuan dengan Fadillah dan berbincang mengenainya.

“Saya gesa Datuk Seri Takiyuddin dan rakan-rakan di pihak pembangkang agar bertemu segera dengan Datuk Seri Fadillah dan berbincang dengan tertib.

"Itulah forum sepatutnya, bukan dalam sidang media seperti yang dilakukan. Itu (bercakap kepada media) tidak tertib namanya,” kata Fahmi.

Sementara itu mengulas dakwaan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, bahawa kerajaan terus bermain sentimen politik walaupun pembangkang sudah membuka ruang luas untuk bekerjasama, Fahmi menegaskan ia tidak benar.

Kata Fahmi, sebenarnya Perdana Menteri Anwar Ibrahim bukan sekadar banyak meluangkan masa untuk mengenal pasti apa masalah yang perlu diatasi segera di seluruh negara, malah mempercepat proses projek-projek yang mendesak.

Misalnya, kata Fahmi, berkaitan usaha mengatasi banjir di Rantau Panjang dan Pasir Mas di Kelantan.

“Saya lihat yang banyak main politik ialah Menteri Besar Kedah," katanya.

Justeru menurut Fahmi sebagai anggota pentadbiran pemimpin PAS itu perlu mengutamakan kemaslahatan umum dan memastikan rakyat mendapat manfaat sebaik mungkin.

Tambah Fahmi, sejak awal lagi Anwar telah menegaskan bahawa tidak perlu ada sentimen politik dalam isu pembangunan termasuk di negeri yang diurus tadbir oleh PN.

“Kita cuma tegaskan aspek urus tadbir baik isu tata kelola baik perlu diketengahkan dan diutamakan,” katanya.