Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

ULASAN | Keperluan mendesak meritokrasi pelantikan kerajaan

ULASAN | Bulan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim (PMX) mengumumkan kenaikan gaji baru bagi penjawat awam yang telah ditunggu-tunggu selama lebih 12 tahun. 

Walaupun berita ini disambut baik, PMX turut menegaskan kenaikan gaji ini harus seiring dengan usaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan awam, khususnya dari segi kualiti servis dan kepimpinan. 

Kenaikan gaji ini tidak seharusnya dilihat sebagai sekadar memenuhi tuntutan kewangan, tetapi perlu diiringi dengan reformasi yang menyeluruh dalam aspek kepimpinan dalam perkhidmatan awam. 

Kualiti perkhidmatan dan integriti kepimpinan adalah dua elemen yang perlu diperkukuh untuk memastikan perkhidmatan awam Malaysia terus relevan dan berkesan. Kerangka Iltizam Kecekapan Pentadbiran juga diperkenalkan sebagai mekanisme mengukur tahap penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Dengan setiap pelantikan baru, terutamanya di peringkat tertinggi seperti ketua setiausaha negara (KSN) maka harapan tinggi diletakkan di bahu mereka untuk membawa perubahan yang progresif dan substantif. 

Baru-baru ini, pelantikan Shamsul Azri Abu Bakar (gambar atas) sebagai ketua setiausaha KSN juga membuka satu dimensi reformasi kepimpinan yang berdasarkan meritokrasi. 

Jika sebelum ini pelantikan KSN berdasarkan senioriti dan tempoh berkhidmat (time-based), terdapat harapan sistem kenaikan pangkat yang berasaskan masa atau ‘time-based’ akan dikaji semula. 

Kenaikan pangkat perlu lebih bersifat meritokrasi, selari dengan kemampuan, kepimpinan, dan pencapaian yang telah diraih oleh calon. Ini untuk memastikan mereka yang layak diberi tanggungjawab yang sewajarnya, demi kebaikan negara.

Gambar fail, Datuk Bandar KL Maimunah Mohd Sharif pada sidang media operasi SAR mangsa lubang benam di Jalan Masjid India.

Baru-baru ini, pelantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baru Maimunah Mohd Sharif juga telah mencuri perhatian ramai. 

Dengan latar belakang yang hebat dalam bidang perancangan dan penjanaan semula bandar.

Pernah berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif United Nations Human Settlement Programme (UN-Habitat) dan wanita pertama dilantik sebagai Datuk Bandar, beliau diharapkan dapat mengembalikan fungsi dan penglibatan DBKL yang lebih baik dalam mengurus Bandaraya Kuala Lumpur yang dirasakan telah kehilangan kegemilangan sebagai ibu negara Malaysia. 

Rakyat mendambakan bandar yang lebih tersusun, kebersihan terjaga, pengangkutan awam yang cekap dan kemudahan-kemudahan awam yang berdaya saing.  

Datuk Bandar KL Maimunah Mohd Sharif .

Pelantikan ini juga menonjolkan kepentingan menempatkan pakar dalam bidang tertentu di kedudukan yang tepat. Dalam persekitaran kerja yang kompetitif dan dinamik, kepakaran yang khusus sangat diperlukan untuk membawa kemajuan dan menyelesaikan isu-isu yang semakin kompleks.

Ketiadaan pakar dalam posisi strategik boleh membawa kesan yang buruk kepada sesuatu jabatan atau organisasi. Apabila orang yang kurang berpengalaman atau tidak mempunyai kepakaran khusus diberi tanggungjawab yang besar, ia bukan sahaja menyebabkan keputusan yang tidak tepat tetapi juga melambatkan proses pembangunan. 

Keadaan ini boleh menyebabkan prestasi keseluruhan pasukan terjejas, mengakibatkan hilangnya kepercayaan dan motivasi di kalangan kakitangan yang lebih berpengalaman dan berkelayakan.

Apabila individu yang mempunyai kepakaran ditempatkan di posisi yang betul, ia bukan sahaja meningkatkan keberkesanan operasi tetapi juga memberi inspirasi kepada seluruh pasukan. 

Kepakaran dan pengetahuan mereka akan menjadi panduan untuk membuat keputusan yang lebih bijak dan strategik. Pasukan yang dipimpin oleh pakar berpeluang untuk berkembang dengan lebih pantas, berinovasi, dan mencapai hasil yang lebih baik.

Sebaliknya, jika kepakaran ini tidak diambil kira dalam pelantikan, ia boleh mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan kakitangan yang lebih layak tetapi tidak diberi peluang. 

Rasa tidak adil ini boleh menjadi pencetus kepada permulaan politik pejabat, dengan individu atau kumpulan tertentu mula bersaing bukan untuk kebaikan organisasi, tetapi untuk kepentingan peribadi. 

Ini akhirnya merosakkan budaya kerja, menjejaskan moral, dan mengurangkan produktiviti keseluruhan organisasi.

Hapus kepimpinan bobrok

Kepimpinan yang bobrok, amalan 'red tape' dan budaya micromanagement perlu dihentikan segera kerana ia membawa kesan negatif yang mendalam terhadap kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan awam. 

Dalam persekitaran kerja moden yang semakin kompleks dan memerlukan respons cepat, budaya micromanagement dan birokrasi yang berlebihan (red tape) hanya menyumbang kepada kelembapan dalam proses kerja dan mengurangkan produktiviti.

Micromanagement, merujuk campur tangan pegawai atasan secara berlebihan dalam tugasan harian, menyebabkan pegawai bawahan merasa tidak dipercayai dan terkongkong. 

Ini memadamkan motivasi dan inisiatif, di mana penjawat awam tidak lagi berani untuk mengambil keputusan atau menunjukkan kreativiti dalam menyelesaikan masalah. 

Dalam jangka panjang, micromanagement melahirkan budaya kerja yang tidak fleksibel, kaku dan kurang berdaya saing.

Sebaliknya, amalan ‘red tape’ pula merumitkan proses kerja dengan pelbagai prosedur dan kelulusan yang tidak perlu. 

Pada era keputusan perlu dibuat dengan pantas dan tepat, birokrasi yang terlalu ketat menghalang keupayaan perkhidmatan awam untuk bertindak balas terhadap perubahan dan keperluan mendesak. 

Ini bukan sahaja melambatkan pelaksanaan dasar-dasar penting, tetapi juga mengakibatkan ketidakpuasan di kalangan kakitangan dan orang awam yang bergantung kepada perkhidmatan tersebut. 

Isu ini juga disentuh di dalam Titah DiRaja Yang di-Pertuan Agong ke 17 Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ketika menyampai Titah Diraja pada pembukaan penggal ketiga Parlimen Malaysia ke-15 pada 26 Februari yang lalu. 

Tambahan pula, alasan pertukaran pegawai bawahan ‘demi kepentingan perkhidmatan’ yang sering digunakan untuk menjustifikasikan perpindahan kakitangan tanpa alasan yang kukuh juga perlu dihentikan. 

Praktik ini bukan sahaja menimbulkan rasa tidak adil di kalangan penjawat awam, tetapi juga merosakkan semangat kerja apabila kakitangan dipindahkan tanpa sebarang penjelasan yang munasabah. 

Sebarang perpindahan harus disertakan dengan alasan yang jelas, kecuali dalam kes tindakan disiplin apabila perpindahan mungkin diperlukan untuk memastikan integriti perkhidmatan.

Pendekatan yang lebih telus dan berasas ini akan membantu membina semula kepercayaan di kalangan kakitangan dan memastikan bahawa setiap keputusan diambil demi kebaikan bersama, bukan berdasarkan kepentingan individu atau pihak tertentu.

Akta PSA: Parlimen bebas, profesional

Reformasi kepimpinan bukan sahaja perlu berlaku dalam cabang eksekutif, tetapi juga legislatif terutamanya usaha memperkenalkan kembali Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA) pada sidang parlimen akan datang. 

PSA undang-undang yang bertujuan untuk memastikan parlimen berfungsi secara bebas dan profesional, dengan memberi kuasa kepada parlimen untuk mengurus urusan pentadbiran, kewangan dan sumber manusianya sendiri tanpa campur tangan eksekutif. 

Ini termasuklah pelantikan, kenaikan pangkat, dan pengurusan kakitangan parlimen, yang akan diawasi oleh sebuah jawatankuasa yang dilantik khas.

Kelebihan utama pelaksanaan PSA, ia mengukuhkan kebebasan parlimen sebagai sebuah institusi yang berwibawa dan tidak berpihak, membolehkan ahli-ahli parlimen menjalankan tugas mereka dengan lebih berkesan dan berintegriti. 

PSA juga berpotensi meningkatkan profesionalisme dalam pengurusan parlimen, dengan setiap keputusan mengenai sumber manusia dibuat berdasarkan merit dan keperluan organisasi. 

Namun begitu, pengenalan PSA juga datang dengan cabaran, antaranya risiko penentangan daripada pihak eksekutif yang mungkin melihatnya sebagai usaha mengurangkan pengaruh mereka dalam urusan parlimen. 

Selain itu, jika tidak dilaksanakan dengan telus, PSA boleh menyebabkan penumpuan kuasa di kalangan segelintir pihak dalam parlimen yang boleh membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa.

Oleh itu, pentingnya proses pelaksanaan PSA dijalankan dengan penuh ketelusan dan akauntabiliti. 

Ini termasuk memastikan semua keputusan yang diambil berdasarkan prinsip-prinsip yang jelas dan difahami oleh semua pihak berkepentingan. 

Ketelusan ini bukan sahaja penting untuk menjaga integriti parlimen sebagai sebuah institusi, tetapi juga untuk membina kepercayaan rakyat terhadap proses demokratik negara. 

Reformasi ini, jika dilaksanakan dengan betul, akan menjadi langkah penting dalam memperkukuh kedudukan parlimen sebagai tiang seri demokrasi di Malaysia.

Reformasi dalam perkhidmatan awam dan kepimpinan sesuatu yang tidak boleh dipandang enteng.

Kenaikan gaji yang diumumkan perlu disertakan dengan usaha memperkukuh integriti, kepimpinan dan kualiti perkhidmatan. 

Transformasi kepimpinan jangka panjang ini perlu melibatkan semua kakitangan kerajaan supaya mereka lebih bermotivasi dan bersemangat untuk terus memberi sumbangan kepada institusi dan organisasi supaya membawa sinar baru yang lebih progresif dan berdaya saing, selari dengan aspirasi negara untuk terus maju di persada global.


AZYAN SHAFEE pegawai penyelidik Parlimen Malaysia.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.