Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Setengah juta berdemo di Israel tuntut gencatan senjata

GLOBAL | Sekurang-kurangnya setengah juta orang telah turun ke jalan di Jerusalem dan Tel Aviv pada malam semalam.

Ratusan ribu rakyat di Israel telah mengadakan demonstrasi besar-besaran sebagai tanda protes terhadap cara kerajaan menangani isu warga Israel yang ditawan oleh Hamas di Gaza, menurut laporan media.

Reuters memetik media Israel melaporkan sekurang-kurangnya setengah juta orang telah turun ke jalan di Jerusalem dan Tel Aviv pada malam semalam.

Sementara itu, New York Times melaporkan gangguan terhadap sekolah, bank, pengangkutan awam, Pelabuhan Haifa, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Ben-Gurion.

Kesatuan Sekerja Histadrut telah menyeru mogok umum semalam untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu agar memeterai perjanjian gencatan senjata dengan Hamas bagi membawa pulang baki tawanan yang masih berada dalam tahanan Hamas.

Seruan ini dibuat selepas tentera Israel mengumumkan mereka telah menemui mayat enam tawanan di dalam sebuah terowong di bawah Rafah, Gaza.

Sementara itu kumpulan sokongan keluarga tawanan Hostage Families Forum dipetik Reuters menyeru Netanyahu untuk mengambil tanggungjawab dan menjelaskan apa yang menyebabkan perjanjian gencatan senjata tersebut tertangguh.

“Kelewatan dalam menandatangani perjanjian tersebut telah menyebabkan kematian mereka dan ramai lagi tebusan lain,” kata forum tersebut.

Israel mendakwa tawanan tersebut telah ditembak dari jarak dekat oleh Hamas hanya beberapa hari sebelum tentera Israel sempat menyelamatkan mereka. Hamas pula mendakwa mereka ditembak oleh tentera Israel.

Bagaimanapun, tidak semua yang berada di jalanan mengikuti seruan Kesatuan Sekerja Histadrut.

New York Times melaporkan beberapa aktivis sayap kanan dan saudara-mara tentera Israel yang terkorban dalam pertempuran mengadakan perhimpunan di luar pejabat perdana menteri di Jerusalem untuk mendesak peningkatan tekanan ketenteraan terhadap Gaza "sehingga mencapai kemenangan".

Menurut laporan, rundingan gencatan senjata antara Israel dan Hamas telah menemui jalan buntu dengan kedua-dua pihak enggan berkompromi lebih lanjut.

Netanyahu enggan bersetuju dengan gencatan senjata yang melibatkan pengunduran Israel dari Gaza atau secara kekal menghentikan pertempuran, mendakwa mana-mana pilihan tersebut akan membahayakan keselamatan jangka panjang Israel.

Hamas, sebaliknya menyatakan mereka tidak akan melepaskan lebih banyak tawanan tanpa gencatan senjata kekal.

Kumpulan itu telah menculik 253 tawanan dan membunuh lebih 1,200 orang semasa serangan mereka ke Israel pada 7 Oktober.

Serangan Israel di Gaza pula setakat ini telah mengorbankan lebih 40,600 rakyat Palestin.

Lebih 100 tawanan telah dibebaskan semasa gencatan senjata sementara pada November tahun lepas.

Beberapa tawanan lain telah ditemui mati dan dibawa pulang atau diselamatkan hidup-hidup manakala tiga lagi secara tidak sengaja ditembak oleh tentera Israel pada Disember 2023 ketika mereka melambaikan bendera putih.

New York Times memetik pihak berkuasa Israel berkata terdapat lebih 60 tebusan masih hidup dan mayat 35 lagi yang dipercayai sudah meninggal dunia berada di Gaza.