Peguam Najib akan minta penghakiman mahkamah Swiss kes 2 eksekutif PSI
KES NAJIB | Pasukan peguam Najib razak merancang untuk menulis surat kepada Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland untuk mendapatkan penghakiman penuh sabitan dan hukuman penjara terhadap dua eksekutif Petrosaudi International Ltd (PSI).
Peguam Muhammad Shafee hari ini mengesahkan perkara itu dan berkata mereka ingin mengukuhkan pembelaan Najib dalam kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dana 1MDB berjumlah RM2.27 bilion.
Menurutnya, keputusan mahkamah Switzerland ke atas Tarek Obaid dan Patrick Mahony tidak membabitkan Najib dalam penyelewengan dana 1MDB.
Katanya lagi, mahkamah itu juga mendapati ahli perniagaan dalam pelarian, Low Taek Jho - atau Jho Low - bersubahat dengan Obaid dan Mahony, bukannya bertindak untuk Najib.
Dia berkata demikian dalam sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Pada 28 Ogos lalu, Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland memutuskan Obaid dan Mahony bersalah menyalah guna dana 1MDB dan masing-masing dijatuhi hukuman penjara tujuh dan enam tahun.
Dalam perbicaraan terhadap Najib sebelum ini, pihak pendakwaan berhujah yang Low seperti cerminan kepada Najib.
Pendakwaan juga mendakwa antara komplot Low adalah pemeteraian usaha sama 1MDB dengan PSI pada 2009, yang menyebabkan sebanyak AS$700 juta (RM3.04 bilion) dana syarikat itu diselewengkan.
Najib dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan RM2.27 bilion dana 1MDB.
Pihak pendakwaan menutup kes mereka pada 30 Mei lalu, iaitu enam tahun selepas pertuduhan dihadapkan kepada Najib.
Pihak pendakwaan telah memanggil 50 saksi, termasuk bekas pegawai 1MDB Jasmine Loo yang didakwa sebagai antara sekutu rapat Jho Low.
Terdahulu, pendakwaan antara lain mendakwa Najib menerima RM2.27 bilion yang diselewengkan antara 2011 hingga 2014.
Bagaimanapun, pihak pembelaan berkata Najib tidak tahu-menahu berkenaan sebarang salah laku dalam 1MDB, dan mana-mana salah laku yang mungkin berlaku didalangi oleh Jho Low dan pegawai pengurusan syarikat itu.
Perbicaraan akan bersambung pada 10 September.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai