Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 18 hari diterbitkan

ULASAN | Bantahan MCCBCHST tersalah arah, tak berperlembagaan

ULASAN | Hari ini, Malaysiakini menyiarkan bertajuk MCCBCHST bantah penempatan 'pegawai Jakim di jabatan kerajaan', yang antara lain menyebut:

Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) menyuarakan bantahan mereka susulan laporan bahawa pegawai agama Islam akan ditempatkan di semua jabatan kerajaan.

Menurut mereka, “tindakan ini berpotensi menjejaskan jaminan  perlembagaan termasuk hak asasi yang dilindungi oleh Perkara 5 hingga 13, yang juga membentuk struktur asas perlembagaan.”

Kenyataan MCCBCHST ditandatangani oleh presidennya Tan Hoe Chieow serta empat naib presidennya, Julian Leow, Chuan Yuan, Ganesh Babu Rao dan Sardar Jagir Singh.

Kata mereka lagi, “Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa Islam adalah agama persekutuan… yang telah ditafsirkan oleh mahkamah tertinggi sebagai ‘ritual dan upacara’ Islam.

“Penglibatan Jakim dalam penggubalan dasar kerajaan untuk memastikan ia sejajar dengan prinsip Islam adalah dalam ruang awam yang ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk berbuat demikian.

“Selanjutnya, pencerobohan dalam ruang awam ini mungkin tidak berperlembagaan kerana ia boleh menjejaskan hak asasi yang dijamin kepada semua rakyat Malaysia. Kedudukan ini telah diselesaikan dengan baik dalam undang-undang,” kata mereka lagi.

MCCBCHST memetik keputusan Mahkamah Agung dalam kes Che Omar Che Soh lwn Pendakwa Raya pada 1988.


Baca: MCCBCHST bantah penempatan 'pegawai Jakim di jabatan kerajaan'


Pada hakikatnya, kegusaran dan bantahan MCCBCHST berkaitan penempatan pegawai Jakim di semua jabatan kerajaan adalah tersalah arah dan tidak berperlembagaan. Berikut adalah sebab-sebabnya:

Rujukan MCCBHST ke atas keputusan Mahkamah Agung bagi kes Che Omar Che Son lawan pendakwa raya pada 1988 adalah tidak tepat atau sekurang-kurangnya tidak lengkap tanpa merujuk penghakiman Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam kes Nik Elin Nik Abdul Rashid dan Anor lawan kerajaan Kelantan yang diputuskan pada 9 Februari 2023, iaitu 35 tahun selepas kes Che Omar.

Tengku Maimun, selepas merujuk penghakiman kes Che Omar, antara lain berkata:

"What we can explain from the foregoing is this. The general legal system in Malaysia leans more towards secularity without being purely secular. What this means is that the source of our law is not purely from divine or Islamic law and the reason why we are not a purely secular state is because limited allowance has been made in the Federal Constitution for the legislation and application of Islamic law."

Justeru, untuk hanya merujuk penghakiman kes Che Omar tanpa merujuk kepada huraian lanjut dalam penghakiman kes Nik Eli bahawa "...we are not a purely secular state is because limited allowance has been made in the Federal Constitution for the legislation and application of Islamic law", adalah satu rujukan yang pincang dan khilaf.

Pada hakikatnya, penetapan dasar kerajaan yang selari dengan prinsip syarak sama sekali bukan bererti ia bertentangan ataupun ultra vires kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Walhal, dalam satu kes lain yang diputuskan di Mahkamah Rayuan pada tahun 2013, iaitu  Menteri Dalam Negeri dan Ors lawan Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur, hakim Mahkamah Rayuan Abdul Aziz Ab Rahim dalam perenggan 104 penghakimannya berkata:

"I would add however that the position of Islam as the religion of the Federation, to my mind imposes certain obligation on the power that be to promote and defend Islam as well to protect its sanctity. 

In one article written by Muhammad Imam, entitled Freedom of Religion under Federal Constitution of Malaysia — A Reappraisal [1994] 2 CLJ lvii (June) referred to by learned counsel for the eighth appellant it was said that: ‘Article 3 is not a mere declaration. But it imposes positive obligation on the Federation to protect, defend, promote Islam and to give effect by appropriate state action, to the injunction of Islam and able to facilitate and encourage people to hold their life according to the Islamic injunction spiritual and daily life’."

Justeru, menurut kes Mahkamah Rayuan ini pula, menjadi "tanggungjawab dan obligasi di pihak persekutuan untuk melindungi, memelihara mempromosi Islam dan memberi efek  melalui tindakan wajar di pihak berkenaan kepada perintah Islam dan membilehkan fasilitasi dan galakan kepada masyarakat untuk menjalani kehidupan berteraskan Perintah Islam, dalam amalan keagamaanmahupun kehidupan biasa."

Justeru, menjadi tanggungjawab dan obligasi pihak kerajaan persekutuan, dalam mematuhi Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan iaitu "Agama Islam adalah Agama Persekutuan", untuk mengarahkan penempatan pegawai agama Islam di semua jabatan kerajaan untuk menentukan dasar jabatan tidak bercanggah dengan hukum Islam, pastinya selagi ia tidak mendiskriminasi rakyat Malaysia yang lain. Dari sudut asas pun Islam memang tidak mendiskriminasi penganut mana-mana agama lain.

Sayugia, saya ucapkan syabas dan tahniah di atas usaha kerajaaan menempatkan pegawai  agama Islam di kesemua jabatan kerajaan.

Ia bukan sahaja mencerminkan daya usaha kerajaan untuk memastikan dasar tidak bercanggah dengan hukum Islam, malah ia mematuhi struktur keperlembagaan negara ini, menuruti keputusan Mahkamah dalam kes Che Omar dan dilebarkan dalm kes Nik Elin serta dihuraikan dan diperjelaskan dalam kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur.


HANIFF KHATRI adalah seorang peguam.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.