Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Kita dah buat yang terbaik - Pasukan SAR mangsa lubang benam

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur telah melakukan yang terbaik sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR) selama sembilan hari untuk mencari warga India, G Vijaya Lakshmi yang hilang ke dalam lubang benam pada kejadian di Jalan Masjid India di ibu negara baru-baru ini.

Timbalan Pengarah JBPM Rozihan Anwar Mamat memberitahu program televisyen Malaysia Hari Ini pasukannya terpaksa mempertimbangkan pelbagai aspek, strategi dan taktikal yang diatur dalam operasi SAR berkenaan supaya tindakan diambil itu tidak dipertikaikan.

"Sepanjang tempoh sembilan hari operasi SAR itu, kita telah buat yang terbaik."

"Terima kasih kepada semua pasukan penyelamat yang terlibat," katanya.

"Pasukan penyelamat turut membuat perbincangan teliti pada setiap malam sebelum kita memulakan operasi pada keesokan hari...

"'Golden time' iaitu dalam tempoh 24 jam operasi itu, kita hanya ada dua jam untuk memaksimumkan operasi SAR bermula jam 2 pagi hingga 4 pagi.

"Pada jam 2 pagi, paras air dalam saluran mula menurun, sejam kemudian paras air terendah, paras air mula naik pada jam 4 pagi," katanya lagi.

Dia turut mengakuiliputan media yang meluas menambahkan tekanan untuk mencari Vijaya, tetapi walaupun dengan dedikasi penuh pasukannya mereka tidak dapat menyelamatkannya.

Pada 23 Ogos, Vijaya, 48, hilang selepas jatuh ke dalam lubang mendap sedalam 8 meter di Jalan Masjid India ketika dalam perjalanan ke sebuah kuil berdekatan.

Operasi mencari dan menyelamat dijalankan selama sembilan hari tetapi dihalang oleh keadaan yang berbahaya.

Kerajaan semalam memutuskan untuk beralih kepada misi mencari dan pemulihan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan pendapat pakar dan pandangan kabinet.

“Kami berunding dengan pakar sebelum membuat keputusan ini.

“Selepas mengumpul input daripada polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur), IWK (Indah Water Konsortium), rakan geologi kami, dan agensi lain, kami memutuskan untuk menamatkan operasi SAR," katanya.

Selepas pengumuman itu, ahli keluarga Vijaya menjalankan upacara terakhir Hindu di tapak kejadian dengan Astro Awani melaporkan suami, anak lelaki dan anak perempuannya dilihat menyalakan pelita minyak dan membunyikan loceng.

Mereka juga dilihat mengambil segumpal tanah dari tapak tersebut sebelum dilaporkan pulang ke India petang semalam.