Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 18 hari diterbitkan

Hati-hati lapor kes jenayah libatkan kanak-kanak - Suhakam

Pengamal media hari ini diingatkan supaya lebih berhati-hati dalam melaporkan kes jenayah melibatkan kanak-kanak.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan identiti golongan itu terdedah dan sensasi melampau dalam sesuatu berita.

Media juga disaran menilai kesan pelaporan itu terhadap keluarga dan kanak- kanak tersebut, kata pesuruhjaya kanak-kanak Suhakam Farah Nini Dusuki.

Merujuk kepada kes pembunuhan kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin, Farah melahirkan kekecewaan dengan maklumat penting yang bocor mengenainya di media sosial.

“Walaupun dia telah meninggal dunia, tetapi itu adalah urusan privasinya," tambahnya. 

Dalam sidang media di pejabat Suhakam di Kuala Lumpur hari ini, Farah berkata media perlu mematuhi undang-undang, peraturan tempatan dan garis panduan pelaporan serta penyiaran berita kanak-kanak.

Katanya, kegagalan mematuhi perkara itu boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan undang-undang bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Farah turut membangkitkan liputan kes penahanan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 yang memandu kereta di Puchong, Selangor serta kes seorang remaja perempuan menyamar sebagai seorang doktor di Hospital Serdang.

Farah berkata, penyiaran identiti kanak-kanak boleh menimbulkan kesan mendalam seperti stigma negatif dan tekanan psikologi kepada kanak-kanak itu, keluarga dan masyarakat.

Katanya, walaupun nama mereka tidak disebut, terdapat pula media yang menyebut nama kampung atau daerah mereka.

Katanya, perkara itu juga membolehlah identiti mereka terdedah secara tidak langsung, khususnya melibatkan orang sekeliling.

"Mereka akan bercakap tentang kanak-kanak itu selama bertahun-tahun dan ini membawa kepada stigma," katanya. 

Sementara itu, Suhakam turut menyarankan media mendapatkan maklum balas daripada pihak berkaitan termasuk kanak-kanak sebelum menerbitkan laporan berita.

"Pihak media perlu mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan bagi melindungi kanak-kanak daripada pendedahan yang boleh menjejaskan maruah mereka dan proses perundangan,” katanya.

Bagaimanapun, Farah yang juga pensyarah kanan undang-undang, Universiti Malaya berkata terdapat pengecualian untuk berkongsi maklumat peribadi melibatkan kes kanak-kanak hilang.

“Jadi dalam kes kanak-kanak hilang wajah penuh kanak-kanak itu akan dipaparkan,” katanya.