Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 18 hari diterbitkan

Peruntukan untuk MP: PN dapat MOU 'pelik sikit' dari kerajaan

PN hari ini mengesahkan sudah menerima draf memorandum persefahaman (MOU) daripada kerajaan berkaitan peruntukan kepada pembangkang namun mendakwa ia "pelik sikit" apabila meletakkan tujuh syarat.

Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Takiyuddin Hassan, berkata draf yang belum dibincangkan secara mendalam itu meletakkan beberapa syarat yang mesti dipersetujui sebelum perjanjian itu dimeterai.

Katanya, antara aspek yang ditekankan oleh pihak kerajaan kepada pembangkang ialah pengisytiharan harta.

"Kita (PN) pun agak pelik sikit, sebab memorandum persefahaman ini sepatutnya untuk menyalurkan peruntukan wajib kepada pembangkang.

"Walaupun kami pembangkang (di Dewan Rakyat), pembangkang pun ahli parlimen juga.

"Zaman dulu (sewaktu kerajaan PN) kami bagi peruntukan kepada semua ahli parlimen

"Tapi dalam (MOU kali) ni disebut tujuh prinsip berkaitan kehidupan awam, pertuturan kebencian, hasutan kebencian, mengenai isu bangsa, agama dan raja-raja.

"Maka isu 3R pun dimasukkan dalam memorandum sebelum kerajaan nak bagi peruntukan," katanya kepada media di Bangi, Selangor hari ini.

Mengapa kena isytihar harta

Takiyuddin berada di situ bersama Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan penasihat empat negeri ditadbir PN, Dr Mahathir Mohamad sempena Sidang Kemuncak SG4.

Di samping syarat yang ditetapkan untuk PN, Takiyuddin berkata draf memorandum yang diterimanya dari Putrajaya bulan lalu turut menetapkan beberapa kewajipan di pihak kerajaan.

Setiausaha agung PAS itu juga memberitahu tidak disebut berapa banyak pembiayaan yang akan kerajaan berikan kepada ahli parlimen pembangkang.

“Apa yang kita tak faham ialah mengapa mereka mahu ahli parlimen yang bukan sebahagian daripada pentadbiran mengisytiharkan harta mereka.

"Kami tidak faham perkara ini, kerana perdana menteri sebelum ini hanya memerlukan pengisytiharan harta daripada anggota pentadbiran seperti menteri, timbalan perdana menteri, dan timbalan menteri," katanya.

Menurut Takiyuddin, dia menerima draf MOU itu daripada pejabat Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof pada 6 Ogos lalu, tetapi ia belum dibincangkan oleh PN kerana ketika itu mereka sibuk dengan PRK Nenggiri di Kelantan.

Katanya parti pembangkang akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan syarat itu tidak lama lagi, dan menjangkakan keputusan serta maklum balas kepada Putrajaya dibuat sebelum akhir Sept ini.

“Kami belum memutuskan sama ada kami boleh menerima memorandum ini atau sebaliknya.

"Apa kaitan peruntukan untuk ahli parlimen dengan menyokong kerajaan sehingga akhir penggal ini?" katanya.

Pada 20 Ogos lalu, Takiyuddin berkata PN sudah menerima draf MOU itu daripada kerajaan dan akan membincangkannya tidak lama lagi.

Sebelum ini dia berkata draf berkenaan perlu dibentangkan kepada Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dan pemimpin lain untuk dibincangkan sebelum keputusan muktamad diambil.

Pada 9 Julai lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa isu peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang sepatutnya tidak menjadi perkara yang rumit untuk diselesaikan.

Kata Anwar syarat bagi mana-mana ahli parlimen pembangkang yang ingin mendapatkan peruntukan adalah keperluan asas dan prosedur standard dalam mana-mana rundingan dan amalan demokrasi.