Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 18 hari diterbitkan

'Perbaiki sukatan pelajaran, bukan hapus sekolah vernakular'

Pengkritik terhadap sistem sekolah vernakular sering merujuk kejayaan Singapura dan Indonesia dalam menghapuskan "pengasingan" berdasarkan bahasa manakala yang lain berhujah negara-negara jiran Malaysia itu menggunakan "taktik autoritarian" untuk pelbagai etnik mencapai asimilasi kebudayaan nasional.

Lima panelis dalam episod ketiga rancangan bual bicara Lapang Dada oleh KiniTV berkongsi pandangan mereka tentang isu yang sering dianggap memecah belah - sama ada sekolah vernakular menyemai perpecahan atau meningkatkan pemahaman silang budaya.

Aktivis sosial Ooi Kok Hin (gambar bawah) berkata pendidikan aliran tunggal hanyalah satu faktor sosial, dengan merujuk kepada langkah perdana menteri dan pengasas Singapura moden, Lee Kuan Yew, yang bukan saja memansuhkan sekolah vernakular tetapi juga melaksanakan langkah-langkah lain yang bertujuan menghapuskan pengasingan kaum di pelbagai peringkat.

"Dia (Lee) memutuskan 'baiklah, ini arah yang kita ingin tuju' dan dia melaksanakannya.

"Dia bukan sahaja menghapuskan sekolah vernakular, dia sebenarnya memaksa orang dari pelbagai kaum untuk tinggal bersama di perumahan awam," kata Ooi.

"Jika kita hanya mengambil satu aspek, iaitu sekolah. Jika hari ini Kementerian Pendidikan memutuskan untuk mansuh sekolah vernakular, adakah penguasaan Bahasa Melayu akan meningkat esok," soalnya.

Katanya sebarang peningkatan akan bersifat "marginal" (kecil) kerana pelajar akan kembali ke rumah untuk bercakap dalam bahasa ibunda mereka manakala aspek lain yang lebih besar dalam masyarakat termasuk parti politik berasaskan kaum juga tetap kekal.

Sementara itu, pensyarah di Kolej Universiti New Era, Joe Liaw Siau Chi menekankan bagaimana sistem Singapura membina identiti nasional dengan mengorbankan latar belakang budaya individu.

Gambar fail, mendiang Lee Kuan Yew.

"Inilah yang diberitahu oleh rakan-rakan Singapura saya, mereka berasa kurang Cina atau Melayu tetapi mempunyai identiti Singapura yang jelas," kata Liaw.

Cenderung dengan pandangan Ooi, sub-editor Malaysiakini, Vinod Gangatharan berkata ramai di luar Singapura tidak menyedari bantahan terhadap Lee, terutamanya dengan sekatan ketat terhadap media.

"Jadi dalam konteks itu, saya boleh katakan bahawa Malaysia lebih demokratik dalam menyesuaikan sistem pendidikan kita untuk semua segmen masyarakat, tidak seperti di Singapura," kata Vinod.

Dua panelis lain, guru Pingalan Gejandran dan pembaca berita RTM Mandarin Rasyidah Abu Johan, kedua-duanya berhujah agar sekolah vernakular dikekalkan tetapi dengan penambahbaikan terhadap sukatan pelajaran sekolah.

Tak fasih bahasa kebangsaan

Pingalan mencadangkan agar topik tambahan yang memupuk perpaduan antara kaum boleh diperkenalkan dalam mata pelajaran seperti sejarah dan kesedaran sivik.

Rasyidah pula berkata penguasaan bahasa bukan sahaja sesuatu yang diajar di sekolah tetapi ibu bapa juga mempunyai peranan untuk mendidik anak-anak mereka.

Mengenai impak sekolah vernakular terhadap perpaduan nasional, aktivis Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Mohamad Danish Shahmi menolak pandangan Rasyidah mengenai pembelajaran bahasa.

Gambar hiasan.

Dia mendakwa sistem sekolah vernakular menyumbang kepada tahap penguasaan yang rendah dalam bahasa kebangsaan.

"Ia mendatangkan kesan kerana ramai (dari sekolah vernakular) tidak fasih dalam bahasa kebangsaan.

"Jika kita tidak fasih, bagaimana kita boleh mendakwa sebagai rakyat Malaysia kerana bahasa kebangsaan termaktub dalam perlembagaan persekutuan," tegasnya.

Walaupun mengakui sekolah vernakular mungkin mempunyai sedikit impak terhadap integrasi, Vinod berhujah ini tidak mencerminkan semangat nasionalisme individu.

Gambar hiasan.

"Untuk mengatakan mereka tidak mempunyai semangat nasionalisme, kurang Malaysia, itu pasti tidak," katanya.

Sementara itu Ooi menekankan bercakap dalam satu bahasa yang sama tidak akan menyelesaikan isu perpecahan masyarakat, dengan merujuk situasi di Amerika di mana perpecahan kaum masih berterusan walaupun semua orang bercakap dalam bahasa Inggeris.

Isu lain yang dibangkitkan dalam sesi selama satu jam itu termasuk persoalan mengenai kuota dalam pendidikan, serta penambahbaikan sekolah kebangsaan untuk menarik lebih ramai pelajar daripada pelbagai etnik.

Video ketiga dalam siri rancangan bual bicara "Lapang Dada" ini telah disiarkan di saluran rasmi YouTube KiniTV.