Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Teresa: Saya tidak menentang projek residensi Suria Madani

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menjelaskan dia tidak menentang projek residensi Suria Madani di kawasan parlimennya, selepas Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengkiritik penduduk yang menyuarakan kebimbangan mengenai projek perumahan itu.

Kok berkata dia bukan salah seorang 'elit' yang disebut oleh Anwar dan hanya mahu kerajaan menambah baik infrastruktur di kawasan itu terlebuh dahulu sebelum membina projek perumahan baru.

Kok juga menjelaskan dia menghadiri majlis pecah tanah projek itu semalam untuk menyampaikan petisyen dan memorandum penduduk kepada Anwar.

“Jika saya tidak hadir, bagaimana saya hendak menyampaikan memorandum penduduk dan petisyen saya kepada perdana menteri?

"Jika saya tidak hadir, saya akan dilihat sebagai menentang projek perumahan Madani seperti 'elit' di Taman Desa (disebut dalam ucapan perdana menteri'," kata Kok kepada Malaysiakini .

Kok berkata dia telah menjalankan peranannya sebagai ahli parlimen dengan menyuarakan kebimbangan penduduk, tetapi kini tiba giliran mereka pula untuk bercakap sendiri.

“Sudah tiba masanya untuk rakyat bersuara kerana mereka dikritik oleh perdana menteri. Saya telah melaksanakan tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat ,” katanya.

Kok juga memberitahu Malaysiakini dia dijemput oleh pemaju Mah Sing Group untuk menghadiri majlis pecah tanah di tapak projek di Taman Desa semalam.

Dalam petisyen yang diserahkannya kepada Anwar semalam, Kok mengalu-alukan lawatan perdana menteri ke Taman Desa dan usaha kerajaan membangunkan lebih banyak projek perumahan Madani bagi memenuhi keperluan perumahan golongan muda dan berpendapatan rendah.

Bagaimanapun, dia menegaskan infrastruktur di Taman Desa dan lokasi projek perumahan Madani lain perlu dinaik taraf bagi menampung pertambahan penduduk.

Menjadikan Taman Desa sebagai contoh, Kok dalam pestisyen menjelaskan projek perumahan Madani dijangka menambah bilangan penduduk kepada 69,255 orang pada tahun-tahun akan datang.

Berdasarkan anggaran Jabatan Perancang Bandar dan Desa, dia percaya pihak berkuasa perlu mengambil langkah susulan dengan membina lebih banyak sekolah, klinik kerajaan, balai polis dan pusat komuniti.

Dia juga berkata Taman Desa telah menjadi "hutan konkrit" yang sesak kerana bilangan projek pembinaan yang berlebihan.

"Di samping itu, banyak jalan tidak diturap, parit, longkang dan taman rekreasi juga tidak dinaiktaraf walaupun telah banyak kali dipohon oleh persatuan penduduk dan saya.

"Saya juga memohon kerajaan untuk mewujudkan satu jejantas bagi penduduk di tapak projek Residensi Madani ke Stesyen MRT Kuchai Lama dengan basikal ataupun berjalan kaki untuk memudahkan penduduk di Taman Desa untuk menggunakan pengangkutan awam,” tulisnya kepada perdana menteri.

Sabtu lalu, Kok mengeluarkan kenyataan menggesa kerajaan menghentikan pembangunan di lokasi padat penduduk berhampiran kolam tadahan banjir, dan mengkaji semula projek sedia ada berhampiran kolam tadahan di Kampung Bohol dan Taman Desa.

“Jika Dewan Bandaraya Kuala Lumpur terus meluluskan projek pembangunan berkepadatan tinggi tanpa memperbesarkan saliran serta mendalamkan sungai di Kuala Lumpur, maka kita akan melihat banjir kilat lebih kerap berlaku pada masa hadapan,” katanya memberi amaran.

Pada majlis pecah tanah semalam, Anwar berkata kerajaan akan terus memenuhi keperluan golongan berpendapatan sederhana dan rendah, serta tidak akan menghiraukan bantahan golongan ‘elit’ termasuk mereka yang menentang projek itu.

Anwar hari ini sekali lagi berkata kerajaan tidak akan mempedulikan bantahan penduduk yang tinggal di "perumahan mewah", dengan mengatakan jika perkara itu tidak dilakukan, jurang pendapatan rakyat akan semakin melebar.

Dia turut mengingatkan penduduk bahawa Taman Desa pada asalnya adalah kawasan luar bandar, dan tanah di situ dibeli dengan harga rendah.

Anwar melancarkan program perumahan Madani pada Jun tahun lepas.

Di bawah skim ini, setiap unit pangsapuri dijual berharga RM200,000.

Pemohon mestilah warganegara Malaysia berumur sekurang-kurangnya 18 tahun, yang tidak pernah membeli rumah, dan mempunyai pendapatan isi rumah bulanan tidak melebihi RM5,000.

Pada masa ini, projek yang dibuka untuk permohonan termasuk Madani Sentral di Putrajaya dan Suria Madani di Taman Desa yang majlis pecah tanahnya diadakan semalam.

Enam lagi projek perumahan Madani di Putrajaya masih belum dibuka untuk permohonan.

Menurut laman web projek perumahan Madani, keutamaan akan diberikan kepada pemohon yang dilahirkan, bekerja, atau menetap di Wilayah Persekutuan.