Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 21 hari diterbitkan

Persatuan gesa DBKL sambung semula lesen di Tasik Titiwangsa

Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil Taman Tasik Titiwangsa menggesa Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) menyambung semula lesen perniagaan peniaga kecil yang berniaga sejak 15 tahun di tapak penjaja zon D tasik itu.

Pengerusinya Ahmad Zamree Fauzi berkata tindakan DBKL itu menjejaskan sumber pendapatan sebanyak 15 peniaga di tapak penjaja zon D tersebut.

"Terdapat tiga jenis peniaga di zon D iaitu menjual alat permainan, menjual makanan dan minuman dan sewaan basikal. DBKL telah membatalkan lesen sejak Mei 2024.

"Ada di antara kami dibatal lesen, dibekukan dan dipaksa dipindah ke zon lain. Tapi, kami menggesa DBKL untuk mengekalkan kami di zon D," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur.

Turut hadir, penaung persatuan tersebut Gulam Muszaffar Gulam Mustakim.

Terdapat empat zon tapak penjaja dipanggil sebagai zon A, B, C dan D di sekitar Taman Tasik Titiwangsa.

Pada Jan 2022, DBKL membatalkan lesen peniaga di zon A dan pada Feb 2024 agensi itu membatalkan lesen peniaga dari zon C.

Kesemuanya, diminta pindah ke zon B. Namun, dalam masa kurang tiga bulan, pada Mei tahun ini agensi itu sekali bertindak membatalkan lesen peniaga zon B dan D.

"Secara amnya, kesemua lesen peniaga di Taman Tasik Titiwangsa dibatalkan atau dibekukan. Kesemuanya, diminta pindah ke kawasan parkir UKM, di Jalan Temerloh, Taman Tasik Titiwangsa.

"Bagaimana, kita nak berniaga di kawasan yang memang pengunjungnya kurang dan akan menjadi sempit jika kesemua peniaga yang di kawasan yang sama.

“Sebab itu kami minta DBKL mengekalkan kami di zon D," kata Zamree.

Ahmad Zamree Fauzi (kanan) bersama Gulam Muszaffar Gulam Mustakim

Sementara itu, Gulam berkata bahawa dia terkejut dengan keputusan DBKL membatalkan lesen peniaga di kawasan Tasik Titiwangsa.

"Mereka sudah berada di sana lebih 15 tahun. Kenapa tiba-tiba nak batal dan bekukan lesen mereka.

"Apa logik, memberi tapak penjaja di satu kawasan sahaja sedangkan taman tasik itu mempunyai jumlah pengunjung yang tinggi.

"Apa akan terjadi dengan kawasan tapak penjaja yang lain. Saya minta DBKL mempertimbangkan semula untuk menyambung balik lesen mereka dan mengekalkan tapak penjaja yang asal," katanya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas DBKL berkaitan gesaan itu.