Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 22 hari diterbitkan

Akta Hasutan: Anda terlanjur, anda hadapi kesannya - Anwar

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Pengerusi Bersatu Muhyiddin Yassin perlu berdepan kesan daripada kenyataannya yang didakwa bernada hasutan terhadap istana.

Anwar juga membidas Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin yang menuduhnya dan kerajaan bersikap hipokritk apabila kini mempertahankan penggunaan “undang-undang zalim” terhadap Muhyiddin.

“Laporan (terhadap Muhyiddin) dibuat istana Pahang…Jadi, dia (Hamzah) tak payah nak pusing. Dia tahu (yang) dia cuma main politik.

“Saya nak nasihatkan, isu ini diangkat oleh istana Pahang dan istana Selangor (untuk kes melibatkan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Mohd Nor).

“Anda langgar peraturan, anda terlanjur, jadi anda perlu depaninya,” katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Anwar, dia sebelum ini tidak mengulas perkara itu dan juga mengarahkan menteri kabinet untuk menyerahkannya kepada prosedur sedia ada, iaitu laporan polis, soal siasat dan disusuli dengan pendakwaan.

Semalam, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil menegaskan kerajaan tidak terlibat dengan pendakwaan Akta Hasutan ke atas Muhyiddin.

Muhyiddin didakwa di mahkamah Gua Musang pada Selasa lalu berhubung ucapannya ketika kempen PRK Nenggiri, yang menimbulkan kemurkaan istana Pahang kerana menuduh Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menggagalkan percubaannya untuk membentuk kerajaan selepas PRU ke-15.

Pertuduhan yang dirangka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

Berdasarkan transkrip yang dilampirkan pada kertas pertuduhan, dakwaan terhadap Muhyiddin adalah atas kenyataannya ketika dia menyorot mengenai Yang di-Pertuan Agong sebelum ini tidak memanggilnya untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum lalu walaupun mendakwa mempunyai sokongan 115 ahli Parlimen.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi dikenakan dua pertuduhan di bawah Akta Hasutan berhubung kenyataan yang menyentuh pihak istana Selangor.