Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 22 hari diterbitkan

ULASAN | Air mata, silibus berat dan hal-hal yang belum selesai

Daripada kempen air mata seorang anak murid, hari ini media sosial dibanjiri dengan hashtag #UbahSegera, menjadi sebuah gerakan yang menekan dan menghambat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) saban hari.

Api-api yang marak ini bergerak daripada satu isu kepada satu isu saban minggu. Daripada masalah hilangnya minat anak-anak terhadap sains dan teknologi hinggalah kepada isu silibus berat yang menzalimi anak-anak dan ibu bapa.

Teman saya seorang guru Matematik di Negeri Sembilan mengadu ketika kami bertemu mengenai betapa sukarnya mengajar silibus ketika anak-anak di sekolah masih belum mahir membaca. Sahabat saya di Ipoh pula mengadu masalah operasional KPM yang membenarkan ibu bapa mengisi borang Nilam sehingga 400 buah buku dibaca sehari. 

Boleh difahami, sebahagian besar api yang marak, dari satu pokok kepada satu pokok hingga kini membakar hutan belantara, adalah reaksi organik daripada masyarakat. Sebahagian teman-teman yang lain dengan penuh sabar menunggu respon saya untuk menyatakan sikap; bersama gerakan netizen ataupun tegar mempertahankan autoriti.

Pengalaman Dua Dunia

Memerhati dari jauh, sudut pandang saya lahir di sekolah ketika saya mula mengajar sekitar hujung 2009 yang lalu. Saya mungkin antara guru terawal yang menggerakkan kritikan terhadap KPM ketika masih dalam perkhidmatan. Saya menulis buku yang mengkritik sistem dan Kementerian sehingga dipanggil menghadap pegawai disiplin di Jabatan Pendidikan ketika usia perkhidmatan saya belum pun berusia tiga tahun.

Sesuai pergerakan perubahan, karier saya merentang hingga ke Pejabat Menteri Pendidikan sebagai pegawai dasar kepada menteri pendidikan pasca kejatuhan Najib Razak dan arus penolakan 1MDB. Di sini sudut pandang saya sebagai pendidik berubah kepada sudut pandang pembuat polisi.

Tidak pernah saya tuliskan sebelum ini tetapi wajar dibicarakan sekarang, saya melihat bagaimana sukarnya perubahan pendidikan itu mahu dilaksanakan sehingga terlengsernya menteri pendidikan pada awal tahun 2020 itu.  

Oleh yang demikian, saya memahami bagaimana dua dunia yang berbeza ini berfungsi. Dunia pertama ialah dunia gerakan sivil yang tugasnya mengkritik, membahas dan menekan aparat autoriti saban hari. Dunia kedua pula adalah dunia birokrat yang menjalankan polisi untuk sebahagian besar masyarakat, secara idealnya untuk kebaikan rakyat secara keseluruhan. 

Dilema perubahan dan politik hegemoni

Dua dunia ini adalah dunia yang sangat kontradik. Masyarakat sivil kadangkala kurang memahami betapa rencamnya dunia birokrat. Misalnya di KPM sahaja, sehingga 34 bahagian yang berbeza menjalankan pelbagai fungsi setiap hari untuk menangani pemegang taruh yang mencecah tujuh juta orang atau hampir 22% daripada jumlah rakyat Malaysia. Jumlah murid sahaja sekitar 5.1 juta dan lebih dari 415,507 orang guru seluruh negara. 

Manakala birokrat di KPM pula tidak mengambil berat tekanan-tekanan dari luar. Kebanyakan dari mereka begitu sibuk dengan tugasan harian tanpa memahami wacana perubahan ataupun gerakan pembebasan di luar.  

Ketika inilah konflik berlaku. Misalnya pada hari ini masyarakat mempertikaikan kepada birokrat KPM; mengapa silibus Matematik Tahun 2 sudah mula mengajarkan darab kepada anak-anak? 

Ini adalah sebuah soalan yang valid. Meletakkan aras yang terlalu tinggi bermakna kita merenggut keseronokan dan sebahagian besar masa bermain anak-anak. Soalnya mengapa Bahagian Pembangunan Kurikulum KPM melaksanakan polisi seperti ini?

Sang birokrat yang tidak memahami mengapa wacana ini berlaku kemudiannya tidak menjawab dan membiarkan masyarakat meraba-raba tanpa sebarang penjelasan. Saban hari pertanyaan-pertanyaan dari rakyat marhaen ini tidak dijawab, pelbagai teori di peringkat bawah mulai timbul.

Saya melihat semua ini sebagai dilema perubahan. Di peringkat profesional, yang berhormat menteri serta pasukannya mungkin mahukan perubahan total. Malangnya di peringkat pelaksana pula, mereka berdepan dengan legasi masalah struktural dan sistemik yang kritikal. Di sinilah politik hegemoni muncul sepertimana disebut Antonio Gramsci lama dahulu. Yang berkuasa akan mengulang semula kempen-kempen hegemoni sepertimana amalan menteri-menteri sebelum ini iaitu: “Kami (KPM) tahu apa yang sedang kami lakukan.”

Silibus tinggi tingkatkan prestasi Pisa, TIMSS?

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) mula diperkenalkan pada tahun 2011. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) pula dimulakan pada tahun 2012. Seterusnya Semakan KSSR pula bermula pada 2017. Ini bermakna proses perubahan Semakan KSSR 2017 ini bermula sekitar 2013. 

Ini semua berlaku ketika Muhyiddin Yassin menjawat jawatan menteri pendidikan sejak tahun 2009 hingga 2015. 

Muhyiddin dan murid sekolah rendah pada 2015

Hambatan masyarakat sivil mengenai aras kesukaran silibus Semakan KSSR 2017 ini semuanya berpunca ketika Muhyiddin menjadi menteri pendidikan. Tetapi ia tidak dijelaskan oleh pihak birokrat bahawa isu-isu berbangkit ini adalah legasi krisis pendidikan yang berakar dan berpunca dari pelbagai masalah sejak Muhyiddin menjadi menteri pendidikan.

Ini menyebabkan salah faham dikalangan masyarakat awam bahawa apa yang berlaku pada hari ini adalah disebabkan polisi Kerajaan pada hari ini. 

Hipotesis saya Muhyiddin pada ketika itu terlalu teruja untuk meningkatkan pencapaian Malaysia dalam Pisa (Program For International Student Assesment) dan TIMSS (Trends in International Mathematics and Science Study) sehingga beliau secara sukarela menjadi bapa PPPM 2012-2025.

Pisa menilai kemahiran murid berusia 15 tahun dalam Membaca, Matematik, dan Sains, manakala TIMSS menilai pencapaian murid dalam Matematik dan Sains di peringkat hujung sekolah rendah dan awal sekolah menengah. Keputusan daripada kedua-dua penilaian ini memberi gambaran mengenai kualiti pendidikan di peringkat rendah dan menengah.

Jangan kita lupa bahawa Pentaksiran Berasaskan Bilik Darjah (PBD) juga diperkenalkan pada tahun 2011. Jadi bolehlah kita katakan bahawa semua ini, perubahan daripada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) kepada KSSR, PBD dan Semakan KSSR 2017 adalah komponen penting PPPM 2012-2025, semuanya digerakkan dan diusahakan oleh Bapa PPPM 2012-2025 ini iaitu Muhyiddin Yassin untuk meningkatkan prestasi Malaysia di dalam Pisa dan TIMSS.

Pelan Pembangunan Pendidikan 2012-25 gagal?

Jadi soalan yang harus kita tanya pada hari ini adalah; “Adakah dengan meninggikan aras silibus dalam kurikulum dapat meningkatkan pencapaian Malaysia dalam Pisa & TIMSS?” 

Saya fikir kita semua ada jawapannya. 

Saya telah menulis panjang lebar pasca pengumuman PISA 2022 pada hujung tahun lalu. Malaysia bukan saja ditinggalkan dengan begitu jauh oleh negara maju seperti Jepun, Korea ataupun Kanada. Kita bahkan kalah begitu teruk dengan Singapura, Vietnam serta Brunei. Kita juga bahkan jauh lebih corot jika dibandingkan dengan Israel, Kazakhstan, Mongolia ataupun Chile.

Jadi berdasarkan semua hubung kait ini, daripada pengenalan KSSR & PBD pada 2011, pembentangan PPPM 2012-2025 pada 2012 hingga Semakan KSSR 2017 dan akhirnya pencapaian Malaysia dalam Pisa dan TIMSS sejak pertama kali menyertai (Pisa 2009, TIMSS 1999) hingga kini (Pisa 2022, TIMSS 2023), adakah tidak keterlaluan jika boleh kita simpulkan bahawa Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2012-2025 yang berharga RM20 juta (KPM membayar Mckinsey) itu adalah gagal?

Ini adalah kerana skor Malaysia di dalam ketiga-tiga domain (Membaca, Matematik, Sains) PISA serta skor Matematik & Sains di dalam TIMSS tidak pernah lebih tinggi daripada skor purata OECD dan tahun hadapan adalah tahun terakhir PPPM 2012-2025 yang berharga RM 20 juta itu.

Legasi krisis, membentang jalan ke hadapan

Jadi krisis yang kita hadapi hari ini adalah legasi peninggalan masalah sistemik dan struktural yang berakar berbelas tahun dahulu. 

Misalnya keberkesanan kurikulum adalah simptom kepada masalah sistemik KPM yang tidak meletakkan realiti di bawah ketika menggubal cita-cita menterinya pada ketika itu yang terlalu ghairah mahukan perubahan ala-Finland.

Dalam masa yang sama legasi krisis ini juga berakar secara struktural, kelihatan jelas melalui kualiti pengajaran oleh para guru dalam kelas. Hampir 15 tahun berlalu sejak Muhyiddin menjadi menteri pendidikan dan hampir mustahil mentaliti para guru di Kuala Lumpur menyamai mentaliti para guru di Helsinki. 

Tetapi saya juga faham masyarakat mahukan perubahan segera. Rakyat di luar mahukan semua huru-hara dan drama sinetron mengenai pendidikan anak-anak diselesaikan pada hari ini juga. Mereka tidak mahu jurang pendidikan yang wujud pada hari ini semakin melebar kerana masing-masing khuatir akan terjerumus ke dalamnya pada bila-bila masa sahaja.

Malangnya perubahan memerlukan masa. Perubahan juga memerlukan ‘kemahuan politik’.

Oleh yang demikian saya masih menaruh harapan agar menteri pendidikan dari Kerajaan Perpaduan hari ini menawarkan solusi yang Madani kepada kita semua dalam kadar yang lebih agresif.

Demikianlah buah fikir yang dapat saya lontarkan, ketika api sedang marak dan membakar hutan-hutan di media sosial semuanya bahawa dengan memahami latar belakang permasalahan ini, kita dapat ‘Membentang jalan ke hadapan’ secara bersama.

Kerana di akhirnya kita mahukan yang sama untuk anak-anak kita semuanya. 


ZF ZAMIR adalah bekas Pegawai Dasar & Setiausaha Akhbar Menteri Pendidikan (2018-2020) 

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.