Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 23 hari diterbitkan

Fahmi: Bukan kerajaan bawa kes Muhyiddin ke mahkamah

Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil menegaskan bahawa bukan Putrajaya yang membawa pertuduhan Akta Hasutan terhadap bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Berucap pada sidang media petang ini, dia berkata keluarga diraja Pahang yang membuat laporan polis terhadap pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.

“Saya tegaskan sekali lagi bahawa bukan kerajaan yang membawa kes-kes (berkaitan Sultan) ini ke mahkamah.

"Tapi laporan polis itu telah dibuat oleh pihak istana sama ada wakil istana Selangor terhadap Menteri Besar Kedah ataupun wakil istana Pahang (dalam kes Muhyiddin)," katanya.

Fahmi, yang juga menteri komunikasi, menjawab kritikan terhadap kerajaan persekutuan kerana didakwa menggunakan Akta Hasutan terhadap musuh politiknya.

Ini selepas Muhyiddin didakwa di mahkamah Kelantan kelmarin berhubung ucapannya semasa pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri baru-baru ini, yang menimbulkan kemurkaan pihak istana Pahang kerana menuduh Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menggagalkan percubaannya untuk membentuk kerajaan selepas PRU ke-15.

Pertuduhan yang dirangka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan adalah berhubung ucapannya di Felda Perasu, Kelantan, pada 14 Ogos lalu.

Berdasarkan transkrip yang dilampirkan pada kertas pertuduhan, dakwaanterhadap Muhyiddin adalah atas kenyataannya ketika dia menyorot mengenai Yang di-Pertuan Agong sebelum ini tidak memanggilnya untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum lalu walaupun mendakwa mempunyai sokongan 115 ahli Parlimen.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, yang juga dari PN, dikenakan dua pertuduhan di bawah Akta Hasutan berhubung kenyataan yang menyentuh pihak istana Selangor.

Sementara itu, mengulas lanjut, Fahmi mempertahankan peranan peruntukan undang-undang termasuk Akta Hasutan dalam mempertahankan institusi diraja.

Menurut menteri itu, golongan diraja tidak mempunyai forum untuk berdebat dan mempertahankan diri tidak seperti ahli politik, ahli parlimen dan orang awam.

“Kita perlu pastikan institusi raja-raja ini bukan hanya berdaulat tapi juga dipertahankan. Maka pada waktu ini fungsi itu ada juga yang boleh dimainkan oleh undang-undang termasuk Akta Hasutan,” katanya.