Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 23 hari diterbitkan

Ditanya soal PAS sertai k’jaan, Fahmi bangkitkan MOU peruntukan pembangkang

Fahmi Fadzil membangkitkan rangka memorandum persefahaman (MOU) berkaitan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang, ketika ditanya berhubung kemungkinan PAS menyertai kerajaan perpaduan.

“Bukan saya (yang undang PAS),” katanya yang juga jurucakap kerajaan kepada pemberita hari ini.

“Saya tak ingin komen berkenaan hal ini. Tapi apa yang saya boleh sebut adalah daripada aspek MOU, kerana ini sedang diteliti oleh timbalan perdana menteri (Fadillah Yusof). Kita menunggu proses (selesai),” katanya lagi.

Fahmi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkenaan ada usaha untuk membawa masuk PAS ke dalam kerajaan.

Hashim berkata PAS perlu meneliti baik buruk perkara itu sebelum membuat keputusan, terutama berkaitan DAP yang merupakan anggota kerajaan.

Penafian

Perlu dinyatakan yang sebelum kenyataan Hashim, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man telah menafikan parti itu sedang dalam rundingan untuk menyertai kerajaan gabungan pimpinan PH-BN.

Pada Isnin lalu, Fadillah berkata kerajaan belum menerima maklum balas daripada kerajaan berkenaan rangka MOU itu.

Pada 20 Ogos lalu, Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata mereka telah menerima draf MOU dan akan membincangkannya.

Pada bulan sebelumnya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata isu peruntukan untuk ahli Parlimen pembangkang sepatutnya tidak menjadi sesuatu yang rumit untuk diselesaikan.

Menurutnya, syarat untuk mana-mana ahli Parlimen pembangkang yang mahu mendapat peruntukan adalah syarat asas dan prosedur standard dalam sebarang amalan rundingan dan demokrasi.

[Baca berita asal]