Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 24 hari diterbitkan

OECD syor kerajaan perkenal semula GST, cukai pelepasan karbon

Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) mengesyorkan agar kerajaan memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dahulu mencetuskan kontroversi.

Dalam tinjauan ekonomi Malaysia untuk 2024, OECD berkata hal ini perlu dilakukan kerana Malaysia harus meningkatkan hasil memandangkan penerimaan cukai hanya menyumbang 12 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

"Kebanyakan negara OECD telah menjadikan cukai nilai tambah sebagai tonggak utama sistem cukai mereka, kerana cukai ini mesra pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan sangat sedikit herotan dalam ekonomi secara keseluruhan, dan juga kerana ia agak mudah untuk dikuatkuasakan dan sukar untuk dielakkan.

"Malaysia boleh mengikuti amalan terbaik OECD ini dengan memperkenalkan semula GST, yang telah dimansuhkan pada 2018," kata Pengarah Cawangan Kajian Negara, Jabatan Ekonomi OECD, Luiz De Mello.

Menurutnya, sebarang kemungkinan regresi boleh diimbangi melalui bantuan yang disasarkan kepada isi rumah yang rentan.

Dia juga mencadangkan kumpulan cukai pendapatan peribadi diperluaskan.

Ketika ditanya pemberita, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli enggan mengesahkan ataupun menafikan apakah kerajaan bercadang memperkenalkan semula GST.

"Ada banyak cara untuk mengukuhkan fiskal, kumpulan yang berlainan mempunyai pandangan yang berlainan dan perkara-perkara ini akan dibincangkan secara berterusan di peringkat kerajaan," katanya.

Pada Januari lalu, Rafizi berkata kerajaan akan meneroka semua pendekatan lain yang ada sebelum membuat sebarang keputusan untuk memperkenalkan semula GST.

Kerajaan di bawah kepimpinan perdana menteri, Najib Razak pada 2015 memperkenalkan GST bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), dengan pendapatan bersih dilapor dicatatkan sebanyak RM27.3 bilion pada tahun pertama.

Apabila PH mengambil alih kerajaan persekutuan di bawah kepimpinan Dr Mahathir Mohamad, GST dikurangkan daripada enam peratus kepada sifar peratus, diikuti dengan pengenalan semula SST.

Sementara itu, laporan OECD turut mengesyorkan pelaksanaan cukai pelepasan karbon memandangkan subsidi bahan api tidak berkesan.

"Pemindahan yang disasarkan kepada isi rumah yang rentan boleh melakukan kerja yang lebih baik pada kos fiskal yang lebih rendah.

"Selain itu, subsidi bahan api mewujudkan insentif yang salah untuk mencapai pengurangan pelepasan karbon, kerana ia mengurangkan harga pelepasan karbon," kata de Mello.

Subsidi bahan api dan tenaga menyaksikan peningkatan tiga kali ganda berbanding tahun lepas, iaitu 3.5 peratus daripada KDNK negara, tambahnya.

Menurut laporan itu, Malaysia pada masa ini tidak mempunyai langkah penetapan harga karbon mandatori atau cukai bahan api.

"Pengenalan harga karbon secara beransur-ansur melalui cukai atau sistem perdagangan pelepasan boleh dilengkapkan dengan peraturan yang lebih ketat, manakala pemindahan yang disasarkan boleh mengurangkan impak sosial mereka dan memudahkan sokongan politik," katanya.