Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 24 hari diterbitkan

SKMM teruskan libat urus dengan media sosial sebelum pelesenan dilaksana

Kerajaan akan terus mengadakan libat urus dengan platform media sosial sebelum pelaksanaan lesen media sosial dikuatkuasakan pada Januari tahun depan, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

SKMM juga berkata tempoh lima bulan diberikan agar platform media sosial ada masa secukupnya untuk mematuhi kawal selia yang akan dikuatkuasakan.

“Sepanjang tempoh ini, SKMM akan terus mengadakan libat urus secara aktif dengan penyedia perkhidmatan bagi memudahkan peralihan lancar ke arah rangka kawal selia baru menjelang 1 Januari 2025.

“Dengan mengambil kira hal ini, SKMM menggesa penyedia perkhidmatan untuk melaksanakan usaha bagi memastikan operasi mereka selari dengan kawal selia dan undang-undang tempatan,” kata SKMM dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kerajaan akan meneruskan pelesenan walau dibantah pemegang taruh utama menerusi Gabungan Internet Asia (AIC).

Surat terbaru AIC - yang dianggotai gergasi IT termasuk Google, Meta, Amazon dan Apple - bagi menyuarakan bantahan terhadap rancangan kerajaan itu telah dikemas kini daripada surat sebelumnya.

Terdahulu, AIC menyifatkan langkah pelesenan sebagai “tidak praktikal”, sebelum mengubahnya dengan menyatakan ia akan “memberi impak negatif kepada inovasi”.

Versi baru juga memadam bahagian yang menyebut oleh kerana kurangnya rundingan dibuat, “tiada platform yang boleh dijangka untuk mendaftar di bawah syarat-syarat (yang ditetapkan)”.

Menurut SKMM, syarat pelesenan - yang dikenakan terhadap penyedia perkhidmatan yang memiliki lebih lapan juta pengguna - ditetapkan bagi mengawal selia entiti dengan “impak signifikan terhadap ekosistem digital Malaysia”.

SKMM juga berkata ia hanya dikenakan kepada penyedia perkhidmatan, bukan pengguna.

“Rangka kawal selia diperkenalkan sebagai langkah utama ke arah persekitaran dalam talian yang lebih selamat, termasuk menangani judi, penipuan dan pornografi,” kata SKMM.

Suruhanjaya itu menegaskan rangka kawal selia bertujuan memastikan ekosistem dalam talian kekal terbuka, selamat dan boleh dipercayau untuk semua pengguna, dan pada masa sama menggalakkan pelaburan dan inovasi.

“Kelulusan Kabinet untuk rangka kawal selia ini diperoleh pada 8 Mac 2024,” katanya lagi.

Sejak itu, kata SKMM, pihaknya giat mengadakan libat urus dengan pelbagai pemegang taruh, termasuk penyedia perkhidmatan, pertubuhan masyarakat sivil, NGO dan agensi penguatkuasaan undang-undang.