Hakim sama dengar kes Daim, isteri tak berat sebelah - mahkamah
Seorang hakim mahkamah jenayah memutuskan tiada bahaya berat sebelah untuk dia mendengar kes pendedahan aset melibatkan Daim Zainuddin dan isterinya.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Azura Alwi memutuskan perkara berkenaan hari ini apabila dia menolak permohonan bekas menteri kewangan itu agar menarik diri daripada mendengar kesnya.
"Mahkamah mendapati pemohon gagal melepasi tahap ujian bahaya sebenar berat sebelah.
"Mahkamah mendapati tiada asas untuk menunjukkan bahawa mahkamah ini akan kabur dalam menilai kes atau tidak objektif dalam kes pemohon (Daim) dan isterinya (Na'imah Abdul Khalid).
"Mahkamah ini mampu menilai semua keterangan dan permohonan interlokutori secara profesional. Sebagai pegawai mahkamah, hakim mempunyai pengalaman untuk menentukan kebolehterimaan keterangan dan semua pengadilan yang melibatkan pemohon dan isterinya," kata Azura.
Hari ini ditetapkan untuk keputusan permohonan bekas menteri kewangan itu supaya Azura menarik diri atas dakwaan hakim yang mendengar kes Daim dan Na'imah boleh menyebabkan berat sebelah.
Pihak pendakwaan sebelum ini berhujah Azura mampu mendengar kedua-dua kes pendedahan aset dengan adil kerana akan ada perbicaraan berasingan dan bukan perbicaraan bersama.
Pendakwa juga berhujah perbicaraan adil terjamin kerana kes Daim dan Na'imah berdasarkan fakta dan keadaan yang berbeza.
Daim dan Na'imah berdepan tuduhan kerana didakwa gagal mematuhi notis SPRM untuk pasangan itu mendedahkan aset mereka.
Daim, 85, dituduh gagal mendedahkan aset meliputi 38 firma, 25 keping tanah dan hartanah, tujuh kenderaan mewah dan dua akaun dana pelaburan.
Na'imah, 66, dituduh gagal mendedahkan aset melibatkan pelbagai tanah, hartanah, dan kenderaan mewah.
Pasangan itu didakwa secara berasingan di Mahkamah Sesyen antara 23 dan 29 Januari di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009.
Dituduh melakukan kesalahan itu antara 13 dan 14 Disember tahun lalu, pasangan itu boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda sehingga RM100,000.
Daim dibebaskan dengan jaminan RM280,000 manakala Na'imah dibebaskan dengan jaminan RM250,000.
Pasangan itu diwakili oleh peguam Nizamuddin Abdul Hamid.
Timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin mengendalikan pendakwaan.
[Baca berita asal]
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai