Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Calon DUN Mahkota: Zahid nafi pergeseran Pemuda, Wanita Umno

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan bahawa kononnya terdapat perebutan dalaman melibatkan sayap Pemuda dan Wanita berhubung calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata keputusan akhir mengenai calon akan dimuktamad oleh beliau selaku kepimpinan tertinggi parti dan gabungan tersebut.

"Tiada perebutan calon, yang menentukan adalah Pengerusi BN," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Badan Perhubungan Umno Negeri Johor di kediaman rasmi Menteri Besar di Saujana di Johor Bahru hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas khabar angin kononnya berlaku perebutan antara kedua-dua sayap parti itu sebelum ini.

Gambar fail, Ketua Pemuda Umno Akmal Salleh pada PAU 2024.

Ahmad Zahid berkata nama calon bagi PRK itu akan dimuktamad sebelum 14 Sept ini bersesuaian dengan strategi yang sedang dirangka.

Beliau berkata paling penting BN berhasrat memenangi PRK itu sekali gus mempertahan majoriti yang diperoleh penyandangnya, Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain (gambar bawah).

"Jumlah pengundi di DUN Mahkota adalah tiga kali ganda berbanding DUN Nenggiri, jadi lain padang lain belalang maka pendekatan juga harus berbeza. Di Nenggiri hanya ada 19 pengundi Cina manakala di DUN Mahkota, 34 peratus pengundi adalah masyarakat Cina.

"Jadi DAP ada peranan, begitu juga MCA. Selain itu, sebanyak lapan peratus pula adalah pengundi India, jadi kita juga memerlukan kerjasama MIC dan parti-parti Sahabat BN," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 28 Sept manakala tarikh penamaan calon serta pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 Sept.

Pilihan raya itu diadakan susulan kematian Sharifah Azizah, 63, pada 2 Ogos lepas ketika menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

Pada Pilihan Raya Negeri 2022, Sharifah Azizah yang juga bekas Ketua Wanita Umno Johor menang dengan majoriti 5,166 undi menewaskan calon Pakatan Harapan Muhammad Taqiuddin Cheman Mohamad Nor Lingan (Perikatan Nasional) dan Mohamed Noor Suleiman (Warisan).

- Bernama