Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 25 hari diterbitkan

Razman patut cermin diri, bukan kambing hitamkan DAP - Aziz

Pemimpin DAP Abdul Aziz Bari menasihatkan Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria supaya lebih jujur dengan diri sendiri daripada menjadikan DAP sebagai kambing hitam atas kegagalan partinya.

Adun Tebing Tinggi memberitahu Malaysiakini bahawa Razman tidak begitu arif tentang sejarah politik negara.

"Razman perlu lebih jujur dan melihat cermin dengan lebih baik daripada menjadikan DAP sebagai kambing hitam.

"Jelas sekali dia baru dalam politik dan tidak sedar beberapa perkara," katanya.

Terdahulu Razman mendakwa walaupun PAS pernah bekerjasama dengan DAP namun kemudian ia berpisah daripada DAP yang kini diibaratkannya seperti 'ikan busuk'.

Razman juga mengkritik Umno kerana sanggup bekerjasama dengan DAP, terutamanya di Perak selepas pilihan raya negeri 2022, apabila tiada gabungan yang memegang majoriti yang kukuh, dengan PN memenangi 26 kerusi, PH 24 dan BN sembilan.

PH dan BN membentuk pakatan, yang membawa kepada pelantikan semula pemimpin Umno Mohamad Saarani sebagai menteri besar Perak.

Mengulas lanjut, Aziz menegaskan DAP tidak pernah menghalang PAS dan dakwaan "Islam dalam bahaya" hanya dilaungkan oleh parti Islam itu apabila mereka tidak berkuasa.

"PAS melaungkan perpaduan dan dominasi Melayu selepas pilihan raya umum 2018 dan secara anehnya meninggalkan perjuangan untuk negara Islam dan undang-undang hudud.

"PAS berhenti mengejar matlamat tersebut apabila ia menjadi sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional, yang mengambil alih kuasa melalui pintu belakang pada Mac 2020.

"Sehingga hari ini, isu-isu ini masih tidak ada dalam manifesto parti itu," jelasnya.

Aziz juga mencabar naratif PAS meninggalkan Pakatan Rakyat pada 2015 kerana perbezaan pendapat mengenai pelaksanaan undang-undang hudud di Kelantan.

Katanya perkara ini tidak berlaku, menjelaskan hudud tidak pernah dimasukkan ke dalam Buku Jingga Pakatan Rakyat, yang turut ditandatangani oleh PKR, DAP dan PAS.

"Saya percaya PAS keluar lebih kerana perebutan kuasa dalaman, terutamanya antara sayap progresif atau 'Anwaristas' dan golongan ulama yang lebih cenderung kepada Umno pimpinan Najib Razak.

"Saya pernah memberitahu PAS ketika itu jika mereka serius mahu melaksanakan hudud, mereka sepatutnya mempunyai pelan tindakan, kerana isu perlembagaan perlu dijelaskan.

"Tetapi mereka tidak pernah melakukannya," kata Aziz, yang juga pakar perlembagaan.

[Baca berita asal]