Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Pemuda Umno desak k'jaan sediakan baucar insulin bantu pesakit B40

Pemuda Umno mahu kerajaan memberi baucar bekalan insulin kepada pesakit-pesakit yang memerlukan khususnya mereka yang tergolong dalam B40.

Ini kata ketuanya, Dr Akmal Saleh bagi mengatasi masalah kekurangan insulin untuk manusia seperti yang dilaporkan di kemudahan kesihatan kerajaan dan membolehkan mereka membelinya di fasiliti swasta.

“Sebab kalau mereka ini B40 dan insulin tidak ada di klinik-klinik kesihatan mereka perlu ke klinik swasta maka dia perlukan belanja yang besar. 

“Jadi, kerajaan buat sementara ini, sementara nak dapatkan semua bekalan boleh beri baucar kepada mereka yang memerlukan terutama pesakit B40 untuk mereka beli bekalan insulin mereka,” katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebelum ini dilaporkan bahawa ada kemudahan kesihatan tempatan menghadapi kekurangan bekalan insulin manusia.

Kementerian Kesihatan (KKM) kemudian menjelaskan bahawa ada isu pengeluaran menyebabkan gangguan bekalan terjadi.

Bagaimanapun KKM memberi jaminan bahawa beberapa langkah telah diambil untuk memastikan rawatan pesakit tidak terganggu, termasuk dengan meningkatkan penggunaan analog insulin dan terapi oral.

Mengulas lanjut, Akmal yang juga seorang doktor perubatan berkata, perubahaan berkenaan mempunyai kesan yang negatif.

“Pada masa yang sama kita dimaklumkan oleh pegawai-pegawai kesihatan di klinik-klinik kesihatan atau pun di hospital-hospital kerajaan, dimana ada diantara pesakit mereka telah di-convert-kan menggunakan ubat oral, (insulin jenis) analog dan sebagainya.

“Jadi, ini memberikan kesan yang agak negatif kepada pesakit yang sedia maklum. Jadi, saya minta dan menggesa kerajaan carilah bagaimana pun (caranya) untuk kekurangan insulin ini dapat diatasi,” katanya lagi.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad pagi tadi memberi jaminan bahawa bekalan insulin untuk manusia masih mencukupi dan boleh bertahan sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun ini.

Katanya, kekurangan tersebut belum mencapai tahap yang membimbangkan dan usaha sedang dijalankan untuk menambah bekalan bahan itu secepat mungkin.

“Tidak, ia bukan senario yang membimbangkan (seperti dilaporkan) oleh sesetengah media.

"Ia (bekalan insulin manusia) boleh bertahan sehingga akhir tahun. Kami akan terus mendapatkan daripada pembekal lain (juga)," katanya.

Menurut Dzulkefly lagi setakat ini dia tidak mendapat sebarang maklumat mengenai mana-mana pesakit yang memerlukan insulin tidak mendapat bekalan sepatutnya.