Muhyiddin hadapi pertuduhan Akta Hasutan di Gua Musang esok
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bakal berdepan pendakwaan berkaitan Akta Hasutan di Mahkamah Gua Musang, Kelantan, esok.
Perkara itu disahkan Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris ketika dihubungi Malaysiakini, sebentar tadi.
"Mahkamah Sesyen Gua Musang esok," katanya ringkas.
Sebelum ini bekas perdana menteri itu disiasat kerana dipercayai menyentuh isu berkaitan kaum, agama dan raja (3R) dalam kempen plihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Dalam ucapannya yang tular itu Muhyiddin mengaitkan proses pelantikan perdana menteri selepas PRU ke-15 dengan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang ketika itu menjadi Yang di-Pertuan Agong.
Kenyataan ahli parlimen Pagoh itu dianggap mempertikai tugas dan kewibawaan Al-Sultan.
Ia mendorong banyak pihak membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan kenyataan tersebut. Satu daripada 30 laporan berkenaan dibuat oleh pihak istana Pahang sendiri.
Siasatan terhadap Muhyiddin dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 504 Kanun Keseksaan.
Sementara itu Bernama melaporkan pertuduhan ke atas Muhyiddin akan dibuat di hadapan hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri pada jam 9 pagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai