Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

‘Zahid bohong, tiada siapa rujuk saya Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty'

Dr Mahathir Mohamad mendakwa Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berbohong kerana tiada siapa yang pernah merujuk bekas perdana menteri itu sebagai 'Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty'.

Plaintif itu memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa dia tidak pernah mempunyai kad pengenalan (IC) yang memaparkan bahwa dia mempunyai nama seumpama itu.

"Saya sedar (kenyataan Zahid) itu berbohong, tiada satu pun IC (kad pengenalan) guna nama itu. Sejak saya dilahirkan hingga masuk universiti dan sehingga menjadi doktor, tidak pernah orang sebut nama saya Mahathir a/l Iskandar Kutty.

"Ini satu pembohongan oleh Zahid. Bapa saya bernama Mohamad bin Iskandar dan ibu saya adalah Wan Tempawan Wan Hanapi.

"Bapa saya berasal dari Pulau Pinang, dan seorang Melayu, di mana nenek moyang saya mempunyai darah yang berketurunan dari negeri selatan India, iaitu Kerala. Ibu saya pula berasal dari Kedah dan masing-masing berketurunan Melayu sejati," kata pemimpin yang menyambut hari lahirnya yang ke-99 pada bulan lalu pada perbicaraan kes saman fitnah hari ini.

Dia mendakwa presiden Umno itu membuat kenyataan tersebut semasa berucap pada mesyuarat Umno bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Mahathir mendakwa semasa ucapan itu, Zahid mendedahkan salinan kad pengenalan lama plaintif, yang kononnya memaparkan namanya sebagai “Mahathir a/l Iskandar Kutty”.

Dia juga mendakwa, kenyataan Zahid secara tersirat memberi maksud kredibilitinya untuk memimpin negara dan parti yang mengutamakan orang Melayu secara keseluruhan, dipersoal dan diragui.

Dalam pernyataan pembelaannya, Zahid menafikan bahawa kenyataan itu berniat jahat, memfitnah atau menjejaskan reputasi awam Mahathir.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa bahawa nama “Mahathir, anak Iskandar Kutty” merujuk kepada individu tersebut berdasarkan maklumat dalam salinan lama kad pengenalan.

Defendan mendakwa dia tidak mempunyai kawalan ke atas mana-mana penerbitan video berhubung kenyataannya di platform media.

Perbicaraan itu didengar oleh Pesuruhjaya Kehakiman (JC), Gan Techiong.

Firma guaman Shahrul Hamidi dan Haziq mewakili Zahid manakala Muhammad Rafique Rashid Ali bertindak untuk Mahathir.

[Baca berita penuh]