Titah pengampunan Najib: Pemuda Umno pertimbang mohon menghadap Al-Sultan
Pemuda Umno sedang mempertimbangkan untuk menghadap Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung dakwaan titah adendum yang membolehkan Najib Razak menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.
Bagaimanapun, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata pihaknya akan menunggu sehingga rayuan bekas perdana menteri itu berhubung perkara tersebut diselesaikan di mahkamah.
"Pertama ia kerana (titah) adendum ni telah diserahkan kepada kerajaan, jadi sudah tentu kita nak minta kerajaan untuk respon.
"Jika ada, kenapa tidak dilaksanakan, jika tiada dan kenapa, itu saja," katanya.
"Mungkin kita boleh mohon mengadap tuanku untuk kita dapatkan apakah situasi yang sebenar berlaku," tambah Akmal.
Akmal bercakap pada satu sidang media yang diadakan selepas Perhimpunan Agung Umno 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Akmal ditanya jika Pemuda Umno akan memohon menghadap Al-Sultan Abdullah berhubung isu titah adendum tersebut, memandangkan bekas Yang di-Pertuan Agong itu didakwa mengeluarkan titah berkenaan.
"Kita tunggu juga dulu. Kita kena respon sebab hari ini dalam tempoh ni Datuk Seri Najib juga ada dalam tempoh untuk rayuan semula mengenai titah adendum.
“Kita menghormati segala keputusan mahkamah jadi sudah tentu hari ini kita kena tangani semua ini dengan bijak.
"Saya percaya perkara ini kalau diberikan keadilan sebaiknya dia akan berikan kepuashatian kepada semua pihak.
"Insya Allah kita tunggu dan lihat keputusan mahkamah dan selepas itu kita akan memulakan langkah seterusnya," katanya.
Najib, yang kini sedang menjalani hukuman penjara berhubung kes SRC International, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 April lalu untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman.
Dakwanya, satu titah adendum dalam pengampunan diraja baru-baru ini membolehkan dia menjalani baki hukuman penjara enam tahunnya di bawah tahanan rumah.
Najib memohon perintah mahkamah untuk memaksa menteri dalam negeri, peguam negara, Lembaga Pengampunan, kerajaan persekutuan dan beberapa responden lain untuk mengesahkan dakwaan titah addendum dalam pengampunan diraja yang mengurangkan hukuman penjara asalnya dari 12 tahun ke 6 tahun membabitkan sabitan kes rasuah SRC International melibatkan RM42 juta.
Menurut salinan permohonan semakan kehakiman itu, pemohon Najib mendakwa titah adendum tersebut dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 29 Januari.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan tersebut pada 3 Julai.
Najib sejak itu telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai