Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Tanah jerlus: 6 kumbahan dibuka luaskan kawasan pencarian mangsa

Enam lurang kumbahan sekitar lokasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa insiden tanah jerlus di hadapan Malayan Mansion, Jalan Masjid India di Kuala Lumpur dibuka secara berperingkat bagi meluaskan kawasan pencarian.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata keputusan membuka lurang kumbahan itu dengan bantuan Indah Water Konsortium (IWK), diambil hasil perbincangan bersama agensi berkaitan pada 10.30 pagi tadi.

“Dalam usaha mencari mangsa, kita sedang dan akan membuka lurang secara berperingkat di enam lokasi iaitu di Wisma Yakin kemudiannya di Jalan Melayu diikuti persimpangan Jalan Melayu, Dataran Merdeka seterusnya Bank Pertanian Lebuh Pasar Besar dan Bulatan Kinabalu.

“Pada lebih kurang 10.30 pagi tadi, lurang pertama telah dibuka dan kita hantar seorang anggota unit skuba bomba untuk masuk ke bawah, namun tiada sebarang petunjuk diperoleh dan kini pencarian diteruskan di lurang kedua dan semoga ada petunjuk untuk tindakan selanjutnya sehingga mangsa ditemukan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata operasi di lurang kumbahan ini dijalankan secara berperingkat, kerana mengambil kira risiko nyawa anggota penyelamat.

Ditanya berhubung penggunaan dron, beliau berkata segala kepakaran teknologi yang ada akan dipertimbangkan untuk digunakan jika ada keperluan.

“Hal yang sama juga terpakai kepada unit anjing pengesan K9 dari agensi berkaitan antaranya Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, jika ada keperluan kita akan guna,” katanya.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Kuala Lumpur M Fatta M Amin berkata lurang kumbahan itu, merupakan saluran pembentungan domestik dan setakat pagi ini penggunaan air agak kurang.

“Keadaan air sekarang di laluan kumbahan domestik ini berada di paras tiga kaki namun alirannya masih laju, jadi di bawah pembentung hanya satu pegawai sahaja boleh masuk atas faktor gas beracun yang memenuhi lurang dengan memakai pakaian perlindungan diri,” katanya.

Semalam, media melaporkan seorang pelancong dari India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, terjerlus ke dalam lubang sedalam lapan meter pada kejadian 8.22 pagi.

- Bernama