Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Hassan cadang 3 cara selesai isu keabsahan Anwar secara muktamad

Ahli Parlimen PKR Hassan Abdul Karim mencadangkan tiga cara untuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim membuktikan keabsahan kerajaannya secara muktamad.

Hassan mengemukakan cadangan itu selepas Pengerusi PN Muhyiddin Yassin sekali lagi membangkitkan isu perakuan berkanun (SD) walaupun Anwar telah membuktikan sokongan terhadapnya di Dewan Rakyat dua tahun lalu.

Apabila Dewan Rakyat kembali bersidang mulai 14 Oktober ini, katanya, kerajaan boleh mengemukakan usul undi percaya kepada Anwar atau pembangkang membawa usul undi tidak percaya terhadap presiden PKR itu.

Selain itu, dia berkata undi terhadap Belanjawan Negara 2025 yang akan dibentangkan 18 Oktober ini juga boleh menjadi cara untuk memastikan sokongan terhadap Anwar.

“Jika Belanjawan 2025 lulus, maka keabsahan Anwar disahkan secara jelas dan tuntas.

“Sebaliknya, jika Belanjawan 2025 ditolak oleh Dewan Rakyat ia bermakna undi tidak percaya kepada Anwar Ibrahim telah berlaku.

“Jika Belanjawan 2025 ditolak ia membawa makna Anwar dan seluruh kabinetnya perlu letak jawatan di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan, atau Anawr  perlu mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk menasihati baginda agar Parlimen dibubarkan dan pilihan raya umum diadakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semasa kempen PRK Nenggiri sebelum ini, Muhyiddin mendakwa dia memiliki 115 SD selepas PRU15, dan menurutnya jumlah itu cukup untuknya dilantik menjadi perdana menteri.

Muhyiddin juga mempersoalkan mengapa dia tidak diundang oleh Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk dilantik ke jawatan itu.

Mengulas lanjut, Hassan berkata isu tersebut kian panas selepas Anwar berkata 115 ahli Parlimen yang dikatakan menyokong Muhyiddin telah disoal oleh peguam negara dan Majlis Raja-Raja Melayu.

“Anwar secara tidak sedar telah mengheret nama Majlis Raja-Raja Melayu dan peguam negara ke kancah pertikaian soal angka sokongan ahli Dewan Rakyat,” kata Hassan yang merupakan ahli Parlimen Pasir Gudang.

Menurutnya, peguam negara dan Majlis Raja-Raja Melayu tidak terlibat dalam soal keabsahan perdana menteri, sebaliknya ia di bawah bidang kuasa dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong berdasarkan sokongan ahli Parlimen.

Perkara keabsahan yang dipertikaikan oleh Muhyiddin bukan perkara kecil yang boleh dipadam begitu sahaja.

“Muhyiddin telah mengambil risiko politik dan kebebasan dirinya sehingga dipanggil oleh pihak PDRM untuk disiasat, antaranya di bawah akta zalim iaitu Akta Hasutan 1948.

“Jadi Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Anwar wajar menghadapi cabaran Muhyiddin dengan serius dan berani serta penuh yakin terhadap sokongan kepadanya di Parlimen,” katanya lagi.