Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

MB: Tanah Rizab Melayu Pahang bertambah bukan berkurang

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini menafikan dakwaan Tanah Rizab Melayu di negeri itu semakin berkurangan seperti yang tersebar di TikTok.

Sebaliknya, beliau berkata kawasan Tanah Rizab Melayu sejak 1955 hingga 2023 semakin bertambah daripada 218,326 hektar kepada 444,074 hektar berbanding keluasan negeri Pahang 3,597,206.68 hektar, iaitu pertambahan daripada enam kepada 12.34 peratus.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya hantaran (kandungan TikTok) itu dan ia merupakan satu fitnah dan permainan persepsi negatif untuk memburukkan kerajaan negeri.

"Ini kerana, kerajaan negeri sentiasa memastikan Tanah Rizab Melayu terus dipertahan selain akan terus melaksanakan penguatkuasaan bagi menghalang sebarang aktiviti pencerobohan tanah secara haram di atas tanah kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Wan Rosdy berharap orang ramai tidak mudah terpengaruh dan menyemak kesahihan sesuatu maklumat terlebih dahulu dengan pihak berwajib.

- Bernama