Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Kekal guna logo dacing langkah tepat Umno - penganalisis

Penganalisis politik berpendapat keputusan Umno untuk terus menggunakan lambang dacing (BN) dalam pilihan raya umum ke-16 (PRU16) satu langkah tepat.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Mazlan Che Soh berpendapat keputusan itu merupakan satu pendekatan strategik yang sudah difikir dan didiperhalusi dengan sewajarnya.

"Saya fikir ini akan mempunyai beberapa implikasi serta kesan terhadap keputusan ini. Pertama, menggunakan logo dacing atau logo BN yang selama ini sinonim juga dengan Umno akan dapat mempertahankan pengundi-pengundi atau penyokong tegar Umno.

"Ini memperlihatkan kepada penyokong Umno bahawa mereka kekal setia dan teguh dengan logo dacing yang digunakan selama ini.

"Kedua, selepas mengalami kekalahan yang begitu besar dalam PRU lepas, amat penting bagi Umno untuk kembali mendapat tempat terutama di kalangan pengundi Melayu serta anak muda," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Terdahulu Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata dia bersetuju dengan pandangan rakan-rakan kepimpinan dan ahli di akar umbi bahawa parti itu harus menggunakan lambang (logo) BN.

Bagaimanapun, pengerusi BN itu berkata Umno akan meneruskan kerjasama dengan kesemua 18 parti yang kini membentuk kerajaan pusat di bawah kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Mazlan yang juga pensyarah kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi berkata usaha Umno untuk mengekalkan logo dacing dapat dilihat sebagai konsistensi dan keteguhan prinsip parti.

"Saya fikir ini amat penting dalam konteks semasa.

“Saya lebih melihat bahawa usaha Umno ini adalah untuk kembali ke asas dalam politik dan tentu sekali harapan mereka kemenangan di DUN Nenggiri menjadi neraca kepada keputusan ini dengan harapan ini adalah langkah tepat," kata Mazlan.

Profesor Rusdi Omar dari Universiti Utara Malaysia (UUM) pula menyifatkan tiada keperluan untuk Umno menggunakan logo baru pada PRU16 bahkan lambang BN itu kekal relevan.

Katanya, walaupun Umno bekerjasama dengan parti-parti dalam kerajaan perpaduan gabungan itu tidak perlu berkongsi logo yang sama untuk berdepan pilihan raya.

"Tiada masalah guna logo BN kerana sudah sebati dengan rakyat di seluruh negara sejak sekian lama.

“Jika nak tukar guna logo baru akan lebih berisiko dan perlukan masa yang lama untuk dikenali segenap lapisan pengundi.

"Pada saya yang penting bukan soal logo, sebaliknya kalau pemimpin Umno bersatu padu semuanya akan baik.

“Begitu juga jika bekerjasama dengan PH, perlu wujudkan kerjasama dan kesepaduan yang utuh di samping memberi penjelasan yang efektif kepada rakyat," jelasnya.

Nenggiri tak ada ‘cah keting’

Rusdi berkata Umno akan menjadi parti yang kuat sekiranya setiap lapisan pimpinan dan akar umbi mampu mewujudkan kesepakatan yang jitu.

"Kita ambil contoh kemenangan di Nenggiri terhasil dengan kerja kuat dan tiada sabotaj. Tak ada unsur-unsur 'cah keting'. Sejak dahulu lagi termasuk di negeri Pantai Timur dibelenggu dengan masalah ini," katanya.

Dalam pada itu pensyarah sains politik Universiti Sains Malaysia (USM) Zaharul Abdullah (gambar atas) turut berpendapat keputusan Umno menggunakan logo dacing dalam PRU akan datang sebagai langkah yang wajar dan bernas.

Ini kerana pada hematnya, Umno adalah 'grand old party' yang dikenali ramai dan sebati dengan pemikiran dan jiwa pengundi Malaysia.

"Di kerusi-kerusi luar bandar dan majoriti Melayu, Umno masih mempunyai sokongan dan tarikan serta merupakan pesaing yang kompetitif.

"Kedua, ini juga menunjukkan isyarat bahawa Umno berupaya untuk mempertahankan kuasa dan autonomi dalam kerjasama BN-PH. Optik ini penting untuk menunjukkan bahawa pendirian dan perjuangan Umno tentang kepentingan Melayu-Islam sama sekali tidak terjejas," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Tambah Zaharul lagi, langkah itu juga menunjukkan keyakinan dan semangat kepimpinan Umno yang semakin meningkat susulan prestasi kerajaan Madani yang semakin baik dan keputusan PRK Nenggiri yang memihak kepada mereka.

"Susulan PRK ini, moral Umno meningkat kerana berjaya mengubah status quo yang pertama sejak PRU15 dan ini telah dijadikan naratif peralihan kembali undi Melayu kepada Umno," katanya.