Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Memang tradisi Pemuda Umno lantang bersuara - Ahli MKT

PAU 2024 | Tradisi Pemuda Umno sejak dari dahulu lagi memang lantang menjuarai isu-isu rakyat, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Reezal Merican Naina Merican.

Dia merujuk sejarah ketua Pemuda Umno termasuk ketika zaman Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menerajui sayap parti itu.

"Tradisi Pemuda Umno memang sentiasa lantang...dahulu siapa tak pernah lantang, saudara Anwar Ibrahim, Hishammuddin (Hussein), Khairy (Jamaluddin) ada lantang (mereka).

"Itulah optik yang kadang-kadang disukai oleh rakyat yang mahu Pemuda (Umno) bersuara dan saya anggap apa yang dilakukan oleh (Dr) Akmal (Saleh) ini telah mendapat sokongan mungkin yang terkuat di kalangan yang lain.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Reezal Merican Naina Merican.

"Ada dambaan daripada rakyat, daripada ahli untuk melihat suara-suara seperti yang disuarakan Akmal, tetapi biar berpijak atas alas fakta dan perlu mempunyai keupayaan untuk menggerakan (sokongan), kita tak boleh berseorang kita kena ada anak muda bersama," katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur, hari ini.

Reezal yang juga bekas ketua penerangan Pemuda Umno menjawab soalan pemberita mengenai pendekatan Akmal yang dilihat agresif.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Razlan Rafii turut senada dengan Reezal berkata sayap parti itu dari dulu hingga kini sememangnya agresif.

Menurut Razlan, melalui pendekatan itu Umno meraih hasil yang begitu ketara apabila melihat orang Melayu kembali meyokong parti itu pada pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri dan yakin ia akan berterusan sehingga ke PRK Dun Mahkota.

“Setiap kawasan, sudah tentu strategi yang akan digunapakai oleh Umno akan berlainan.

“Kaedah pendekatan kita kepada pengundi juga berlainan kerana demografi penduduk dan kehendak yang berbeza.

“Tapi teras kempen adalah sama seperti sebelum ini, iaitu mempromosikan inisiatif yang telah dan sedang dilakukan oleh Menteri-Menteri Umno, hari ini,” kata Razlan lagi.

Bagi Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Shamsul Anuar Nasarah (gambar bawah) pula berkata watak agresif sayap pemudanya digemari golongan belia.

“Saya percaya itulah watak yang digemari anak muda tapi dalam apa keadaan pun tindakan Pemuda Umno Malaysia melalui pendekatan dan cara kita.

“Ia sebenarnya menjurus kepada usul untuk memperkukuhkan dan memperkuatkan parti dengan mendapat sokongan anak muda. Anak muda mahu suara mereka didengar, anak muda mahu diberi perhatian dan sebagainya.

“Saya percaya banyak, sebagaimana disebut oleh presiden beri respon kepada apa juga isu yang dibangkitkan anak muda sama ada yang dikatakan diperingkat bahagian, atau pun dalam ucapan dasar Pemuda,” kata Shamsul

Menurutnya, parti memberi perhatian terhadap apa yang disuarakan oleh sayap Pemuda Umno.

“Dalam apa keadaan pun saya berkeyakinan apa cara pun yang mereka lakukan sayang dan cinta mereka kepada parti sangat tinggi.

"Mereka inginkan parti ini terus relevan dan dapat diterima oleh anak muda," katanya.

Sementara itu, Shamsul turut menyentuh ucapan Presiden Umno Ahma Zahid Hamidi bahawa parti itu tidak lagi hanya berjuang untuk kepentingan ahlinya saja.

"Kalau kita dengar tadi bahawa ahli Umno saja tidak boleh beri kemenangan kepada parti, yang beri kemenangan kepada parti adalah rakyat sebab itu apa yang diperjuangkan oleh Pemuda, Wanita dan Puteri sebenarnya adalah nuntuk memperlihatkan bahawa Umno ini adalah parti yang memperjuangkan kepentingan rakyat secara keseluruhan.

“Ini realitinya. Sebab itu pendekatan dan strategi parti ini mesti menyentuh seluruh kelompok, orang muda, orang tua dan sebagainya,” tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Ab Rauf Yusoh memberitahu Malaysiakini dia tidak menganggap pendekatan sayap Pemuda Umno agresif.

“Saya tak anggap Pemuda Umno ini agresif. Pemuda Umno ini memang dalam bentuk pendekatan dia memang dia akan satu kumpulan pendesak supaya asasnya pendekatan Pemuda Umno ini boleh didengar kerana mereka mereka adalah pemimpin masa depan.

“Jadi nak kata untuk pulihkan kepercayaan orang Melayu atau pengundi melayu atas sifat agresif Pemuda Umno ini sangat subjektif.

"Kerana pasaran kepada parti-parti pilihan raya ini amat luas sekarang dengan wujudnya pengundi secara automatik ini jadi pasaran kepada untuk memasarkan dan membekalkan pengundi kepada parti politik ini bergantung kepada sesuatu parti,” katanya.