Pemimpin akar umbi Umno percaya kerjasama dengan PH makin baik
PAU 2024 | Pemimpin akar umbi Umno berpandangan kerjasama antara parti mereka dengan gabungan Pakatan Harapan (PH) semakin kukuh.
Malah, kerjasama itu dilihat mendapat kepercayaan akar umbi parti khususnya dalam mentadbir kerajaan perpaduan.
Ketua Pemuda Umno Selangor Imran Tamrin berkata kerjasama yang dimeterai antara PH dan BN itu juga berjalan lancar dan baik.
“Kerjasama ini adalah kerjasama bagi meneruskan pentadbiran kerajaan di peringkat negeri dan pusat.
“Jadi kerjasama ini semakin baik dan hubungan kita untuk mengurus negeri dan negara bersama dalam konteks kerajaan perpaduan nampaknya telah berjalan dengan baik dan lebih lancar.
“Setiap parti dan gabungan juga menghormati antara satu sama lain dan juga dapat bergerak seiring bagi mencapai matlamat yang sama,” katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, semalam.
Imran berkata demikian mengulas kerjasama Umno dengan parti-parti lain dalam kerajaan perpaduan khususnya DAP.
Exco Pemuda Umno Shahrul Nasrun Kamaruddin berkata tiada yang perlu ditakutkan lagi dengan kerjasama antara parti itu dengan PH.
Tegasnya, kerjasama antara PH dan BN tidak boleh dilihat kepada hanya satu parti tertentu saja.
“Kita perlu melihat kerjasama ini penting di kalangan parti Umno-BN dan juga parti-parti yang membentuk kerajaan perpaduan. Kita tak boleh melihat DAP saja, sebuah parti dalam kerajaan perpaduan, kita ada lebih 19 parti dalam kerajaan perpaduan tetapi apa yang dimainkan, naratif jahat yang dimainkan PN bahawasanya DAP adalah musuh kepada agama Islam dan Melayu.
“Kenapa kita perlu ulang benda yang sama kerana akar umbi, perwakilan Umno sudah tahu sebelum kita bersama kerajaan perpaduan kita telah menandatangani perjanjian bersama dengan PH ketika itu.
“Janji-janji ini tidak pernah disentuh atau dipersoalkan oleh parti-parti dalam kerajaan perpaduan hari ini. Agama Islam, bangsa Melayu, raja-raja…jadi, apa lagi yang kita nak takutkan?” katanya.
Shahrul berkata momokan PN terhadap DAP adalah kerana mereka sudah ketandusan idea dan modal.
Sedangkan, menurutnya, DAP mempunyai kelebihan dalam meyakinkan pengundi bukan Melayu.
“Macam pilihan raya lepas DAP dilihat berjaya meyakinkan 90 peratus pengundi mereka dan ini fakta.
“Ini pro dan kontra yang perlu kita lihat bagaimana cara mereka meyakinkan satu-satu bangsa itu yang memihak kepada mereka.
“Jadi, hari ini kita tengok pola pengundi contohnya di DUN Nenggiri, kaum lain-lain hanya 19 orang saja daripada 20,000 tapi berbeza di DUN Mahkota yang mempunyai peratusan pengundi berbeza,” katanya.
Sesi penerangan parti
Sementara itu, Ketua Puteri Umno Bahagian Setiawangsa Asya Rahman mengakui agak sukar bagi akar umbi Umno menerima kerjasama PH-BN pada mulanya.
Namun, Asya berkata ia semakin baik selepas beberapa sesi penerangan dilakukan kepimpinan parti itu.
“Itu tidak dinafikan tetapi apabila jentera parti giat melakukan penerangan, saya kira perkara itu dapat disampaikan kepada akar umbi.
“Kita dah melalui mesyuarat cawangan, bahagian dan perkara-perkara itu telah dimaklumkan dari semasa dan berterusan. Penerimaan mereka semakin hari insya-Allah semakin baik kerana kita dah maklum bahawa setiap parti itu ada tanggungjawab masing-masing.
“Tetapi setakat sekarang ini apa yang saya lihat masing-masing cuba untuk menerima dan bukan kerana kita mahukan kuasa tetapi kita berpegang bahawa ini adalah kehendak dan titah Yang Di-Pertuan Agung.
Setiausaha Pemuda Umno Bahagian Labis, Negeri Sembilan, Mohd Iswan Shah Sulaiman pula berkata Umno tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan PH.
Dia juga menolak pandangan bahawa Umno dikawal DAP.
“Kita boleh bekerjasama dan tak ada masalah. Sekarang dah tahun 2024 dan akar umbi kena faham kenapa tindakan ini diambil kerana kita rasa ini adalah yang terbaik untuk negara. Presiden buat keputusan sebegitu kerana negara.
“Kita bergabung dan desas-desus Umno dijajah atau dikawal DAP itu sebenarnya tidak berlaku sama sekali, kami masih lagi boleh kawal DAP sebab kepentingan Melayu-Islam dan raja-raja masih terpelihara di bawah Umno, di bawah timbalan perdana menteri kita (Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi),” katanya.
Puas hati prestasi Zahid
Sementara itu mengulas prestasi Zahid sepanjang dua penggal mengemudi Umno, rata-rata perwakilan berkata mereka sangat berpuas hati.
“Ini adalah penggal kedua Zahid sebagai presiden dan kita telah melalui liku-liku dan cabaran-cabaran. Saya yakin di bawah pimpinan presiden, Umno berada di landasan yang betul dan juga berada di landasan untuk kita menuju matlamat dan hala tuju yang lebih baik bagi menaikkan semula serta untuk Umno bangkit kembali sebagai sebuah parti dan organisasi yang disegani dan organisasi yang terus memberikan sumbangan kepada masyarakat dan rakyat serta membina negeri dan juga negara,” kata Imran.
Bagi Shahrul kejayaan Umno dalam pilihan raya kecil (PRK) DUN Nenggiri baru-baru ini membuktikan Zahid mempunyai strategi baru untuk kelangsungan parti mereka.
Katanya, aa sekali gus akan terjemahkan dalam pilihan raya seterusnya.
“Presiden hari ini terbukti telah terbuka hati untuk mendengar semua idea-idea daripada pelbagai lapisan termasuk bahagian-bahagian di peringkat pusat mahupun sayap-sayap bagaimana kita mahu mencari calon yang betul-betul dapat memberikan kemenangan.
“Kita juga nampak kebijaksanaan presiden itu untuk mendengar idea setiap sayap Pemuda, Puteri dan Wanita dan ini bermakna presiden bukan lagi bergerak secara bersendirian.
“Saya berharap kerjasama semua pihak ini dapat menyakinkan kembali rakyat bahawasanya Umno-BN adalah satu parti yang akan membawa dan memberikan kesejahteraan yang terbaik untuk rakyat,” katanya.
Usaha bela Najib
Sementara itu, Mohd Iswan mengulas usaha membelas bekas presiden Umno Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara, menurutnya, kepimpinan parti tidak pernah berputus asa untuk melakukan sebaik yang mungkin.
“Kita memang giat melakukan (usaha membebaskan Najib), bahkan presiden kita sendiri dan naib-naib presiden serta seluruh ahli jawatankuasa tertinggi parti bersatu untuk menuntut keadilan bagi pembebasan Najib daripada penganiayaan yang dihadapinya.
“Umno dari semasa ke semasa seperti dalam taklimat presiden ada menyatakan Umno punya pendirian dan juga usaha untuk kita bersama-sama dengan Najib tetapi soladiriti kita itu masih satu. Kita akan bersama-sama membebaskan Najib,” katanya.
Tambah Mohd Iswan, Zahid sendiri telah bersetuju untuk terus memperjuangkan nasib bekas presiden mereka itu.
“Bagi saya kepimpinan presiden bersetuju membantu memperjuangkan pembebasan Najib sebab dia adalah tokoh terbaik untuk negara, tanpa Najib kita tak akan semegah ini. Alhamdulillah kepimpinan Najib dan allahyarham bapa beliau sangat besar.
“Ahli parti menghormati keputusan mahkamah tetapi dalam masa yang sama akan terus memperjuangkan pembebasan Najib,” tambahnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai