Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

DUN Mahkota tidak semestinya diwakili wanita - Mat Hasan

PAU 2024 | Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan menegaskan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota tidak semestinya datang daripada sayap wanita.

Katanya meskipun Wanita Umno mahukan kerusi berkenaan dikekalkan kepada wanita, namun paling penting kata Mohamad calon berkenaan mestilah calon boleh menang.

"Ada dibincangkan di peringkat Pemuda (Umno) tadi, bawa usul supaya pemilihan calon penting, tapi kita setuju bahawa pemilihan calon ini dibawa daripada bahagian..bahagian ke perhubungan, perhubungan berbincang bersama kepimpinan tertinggi parti.

"...(Calon wanita) ada dibawa oleh wanita tapi terpulang pada kita punya perbincangan dan terpulang kepada sama ada calon yang boleh memenangi pilihan raya.

"Tidak ada ketentuan lagi, bukan kerana hanya kerana kerusi itu dulu wanita, kita mesti bagi wanita, ini kita akan bincangkan lebih mendalam," katanya ketika ditemui di ibu pejabat Umno, di Kuala Lumpur, malam ini.

Terdahulu petang tadi Pemuda Umno mencadangkan agar Ketua Pemuda Umno Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah menjadi calon BN pada PRK DUN Mahkota tidak lama lagi.

Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh menggesa ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti Abdul Rahman Dahlan membawa perkara itu ke mesyuarat MKT Umno malam ini bagi menyokong pendirian mereka.

"Kami ada satu lagi usul daipada pergerakan pemuda Umno Malaysia, di DUN Mahkota, Pemuda Umno mencalonkan Ketua Pemuda Umno Kluang untuk menjadi calon di Mahkota," katanya, sambil perwakilan Pemuda Umno bersorak "Hussien, Hussien" bagi menyokong usul ketua mereka.

Manakala Ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad turut menuntut calon daripada sayap parti itu diberi peluang untuk bertanding di DUN Mahkota.

Menurutnya, DUN Mahkota sangat penting untuk dipertahankan kerana penyandang kerusi sebelum ini merupakan Exco Wanita Umno, Allahyarhamah Sharifah Azizah Syed Zain, yang juga ketua Wanita Umno Kluang.

Dalam pada itu, Mohamad berkata parti itu mendengar usul yang dibawa oleh sayap parti itu.

Katanya, mesyuarat khas MKT Umno malam ini turut mendengar agenda yang dibawa oleh ketiga- tiga sayap parti itu.

Ia bagi membolehkan tiga sayap parti itu melaporkan perkembangan sempena Perhimpunan Agung Umno 2024 (PAU2024) yang sedang berlangsung.

"Pelbagai perkara dibincangkan dan banyak usul yang telah dibawa oleh ketiga-tiga peringkat," katanya lagi.