Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

'Terima kasih bersama Pemuda Umno paling miskin dalam sejarah'

PAU 2024 | Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh mengucapkan penghargaan kepada barisan exco sayap itu atas kesetiaan mereka sepanjang tempoh yang disifatkannya sebagai "paling miskin" dalam sejarah.

Dalam ucapan penangguhan sempena Perhimpunan Agung Umno hari ini, Akmal mengakui Umno kini memiliki jumlah kerusi parlimen paling sedikit semenjak penubuhan parti itu.

"Saya nak ucap terima kasih kepada barisan exco, sudi bersama Pemuda Umno yang paling miskin dalam sejarah," katanya sambil mengulas cabaran dan kesukaran yang dihadapi parti itu kini.

Ketika ini Umno hanya mempunyai 26 kerusi di Parlimen, tanpa wakil daripada sayap pemudanya di Dewan Rakyat.

Di sebalik keadaan itu, Akmal menegaskan pentingnya peranan Pemuda Umno, dengan menyifatkannya sebagai "kubu" terakhir dalam mempertahankan hak orang Melayu, Islam dan sistem beraja.

Mengulas pendirian lantangnya dalam isu-isu dalam negara, Akmal menyifatkan Pemuda Umno sebagai "parti dalam parti," dan menyatakan hasratnya untuk mengekalkan pendirian sayap itu dalam mempertahankan prinsip mereka.

"Kita di Pemuda Umno adalah benteng terakhir untuk mempertahan Melayu, Islam dan intitusi raja-raja," tegasnya ketika berucap di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Terdahulu, Akmal dalam ucapannya pagi tadi mengulangi pendirian bahawa Pemuda Umno akan menentang sesiapa sahaja yang menyentuh isu 3R (kaum, agama dan raja).

“Tahun lepas saya dah pesan, tahun ini saya ulang lagi, saya ulang pesanan serupa, kami Pemuda Umno boleh kawan dengan sesiapa sahaja.

“Tetapi kalau sentuh agama, bangsa dan raja, kami akan bangkit lawan, tentang kamu habis-habisan,” katanya.