Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Serangan seksual: Bekas pembantu politik didakwa

Seorang bekas pegawai khas kepada ahli parlimen, yang juga Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah menengah, didakwa atas tuduhan melakukan salah laku seksual terhadap seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun di sebuah kolam renang di Batu Pahat, Johor, bulan lalu.

Tertuduh, Zainoor Juma'at, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Sayani Mohd Nor.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap pelajar tingkatan tiga tersebut di kolam renang Pura Kencana, Sri Gading pada jam 6 petang, 25 Julai lalu.

Mangsa mendakwa dia sedang berenang bersama seorang rakan apabila Zainoor menghampirinya dan melakukan perbuatan tersebut.

Zainoor didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan mahkamah menetapkan 26 September untuk sebutan kes.

The New Straits Times melaporkan Zainoor turut disiasat berhubung kes lain yang melibatkan seorang pelajar lelaki dari sekolah sama, yang menuduhnya melakukan salah laku fizikal di sebuah hotel.

Pelajar tersebut telah membuat laporan polis terhadapnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru (Selatan).