Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

100 sertai himpunan Raja, Rakyat Berpisah Tiada di Kuantan

Kira-kira 100 orang menyertai himpunan yang bertujuan untuk menunjukkan kebersamaan mereka dengan pihak istana Pahang petang tadi.

Himpunan Solidariti Raja dan Rakyat Berpisah Tiada itu berlangsung di padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 di Kuantan, Pahang bermula kira-kira jam 4.45 petang.

Difahamkan penganjur menyasarkan kehadiran lebih ramai orang untuk program tersebut.

Mereka berkumpul untuk menyatakan rasa tidak senang terhadap tindakan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, mempersoalkan peranan Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16 pada 2022 lalu.

Tinjauan Malaysiakini mendapati kebanyakan peserta perhimpunan petang tadi itu terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi dari Pahang.

Seorang mahasiswa yang ditemui berkata, dia dan rakannya bertolak dari UiTM Jengka, dekat Maran tengah hari tadi untuk menyertai perhimpunan tersebut.

Peserta himpunan anjuran Majlis Mahasiswa Anak Pahang (Mampan) itu bersurai kira-kira jam 6 petang apabila dinasihatkan oleh pihak polis.

Aidid Fathullah Abdul Shukur

Perhimpunan hari ini dimulakan dengan ucapan Pengerusi Mampan, Aidid Fathullah Abdul Shukur, dan wakil Majlis Belia Malaysia Pahang.

Aidid Fathullah ketika ditemui media selepas itu memberitahu, tujuan utama pihaknya mengadakan himpunan berkenaan adalah untuk menunjukkan bahawa mahasiswa dan anak muda di Pahang mengikuti perkembangan politik negara.

"Tujuan kami berkumpul hari ini adalah jelas... kita nak beritahu kat orang luar sana, kita orang muda ini dengar, bukan tak dengar.

"Kami orang muda cakna... kami Mampan ini nak ingatkan dalam berpolitik janganlah sentuh perkara 3R ini.

"Lagi-lagi apabila sentuh Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Sultan Pahang kita... nak berpolitik, berpada-pada jadi kita nak bagi 'signal' kepada mereka, isu 3R tidak patut disentuh," katanya.

Dia turut memaklumkan pihak Mampan sendiri sudah membuat dua laporan polis berkenaan hal itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata pasukan keselamatan membuat pemantauan di sepanjang himpunan berlangsung.

Katanya ia berjalan dalam keadaan aman dan bebas daripada sebarang insiden tidak diingini.

"Penganjur telah membuat pemakluman berhubung perhimpunan ini sebelum ia berlangsung," katanya.