Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Gangguan seksual pada wartawan: Fahmi akan jumpa polis

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil bercadang untuk bertemu dengan polis bagi membincangkan isu kes gangguan seksual melibatkan seorang wartawan wanita awal Julai lalu.

Menjelaskan pihak berkuasa mengklasifikasikan kes tersebut sebagai NFA (tiada tindakan lanjut), Fahmi berkata, dia baru saja mengetahui status tersebut.

"Saya difahamkan kes tersebut diklasifikasikan sebagai NFA ataupun no further action.

"Saya baru menerima maklumat mengenai perkara tersebut dan berhasrat untuk membangkitkannya dengan pihak polis.

"Memandangkan saya belum lagi bertemu, maka saya tidak boleh komen lebih dari itu," katanya kepada media di Putrajaya hari ini.

Fahmi yang juga jurucakap kerajaan ditemui wartawan pada sesi sidang media pascamesyuarat kabinet hari ini.

Semalam media melaporkan bahawa seorang lelaki yang didakwa melakukan perbuatan tersebut ke atas seorang wartawan diklasifikasikan sebagai NFA oleh pihak berkuasa.

Memetik kenyataan Ketua Polis Pulau Pinang, Hamzah Ahmad, Bernama melaporkan keputusan tersebut dibuat oleh pejabat timbalan pendakwa raya (DPP).

Dalam kejadian 3 Julai lalu, seorang petugas media PH ditahan selepas didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang wartawan wanita yang membuat liputan semasa PRK Sungai Bakap di Pulau Pinang.

Insiden itu dikatakan berlaku ketika wartawan dan pengamal media lain sedang menemu bual Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pada satu majlis kempen di PRK berkenaan.

Sementara itu, Fahmi turut menggesa pengamal media membuat laporan polis dan memaklumkannya jika mereka diganggu secara seksual.

Dia juga memberi jaminan bahawa laporan mereka akan diberi perhatian dan Kementerian Komunikasi akan cuba sebaik mungkin untuk memastikan keselamatan pengamal media.