Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Wan Fayhsal salahkan Suara Keadilan sebab panik - Fahmi

Fahmi Fadzil mendakwa tindakan Pemuda Bersatu menuding jari kepada Suara Keadilan sebagai punca Muhyiddin Yassin disiasat polis menjadi petanda mereka "panik".

Menurut menteri komunikasi itu, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sedar presiden mereka sekali lagi mencipta kontroversi.

Justeru, katanya, Wan Ahmad Fayhsal sengaja mencipta isu lain dengan harapan perhatian orang ramai dapat dialihkan daripada Muhyiddin.

"Apabila dah panik, dia cuba salahkan mana-mana pihak lain," katanya kepada media di Putrajaya selepas berakhirnya mesyuarat kabinet di situ hari ini.

Fahmi yang juga jurucakap kerajaan mendakwa tidak timbul isu media rasmi PKR itu menyunting klip video ucapan Muhyiddin di Nenggiri baru-baru ini.

Katanya, dia sendiri menyaksikan ucapan yang sama disiarkan di platform TikTok termasuk melalui akaun PAS.

"Kalau tak silap saya yang menyiarkan ucapan itu ialah saluran parti PAS, mungkin harakahdaily atau akaun PAS.

"Justeru kalau nak salahkan mana-mana pihak, salahkan juga (media lain) yang menyiarkan ucapan itu di TikTok Live," katanya.

Muhyiddin - yang kini disiasat ekoran 30 laporan polis yang dibuat ke atasnya - didakwa menyentuh isu 3R apabila mengaitkan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam kegagalannya dilantik menjadi perdana menteri selepas PRU ke-15 lalu.

Wan Ahmad Fayhsal

Antara pihak yang membuat laporan polis ke atas ahli parlimen Pagoh itu ialah istana Pahang sendiri.

Semalam Wan Ahmad Fayhsal menyalahkan Suara Keadilan sebagai punca Muhyiddin menjadi sasaran kemarahan pelbagai pihak serta mewujudkan ketegangan.

Dia yang juga ahli parlimen Machang mendakwa sudah beberapa kali Suara Keadilan bertindak menghasut dan memfitnah Muhyiddin.

Susulan dakwaan tersebut Pemuda Bersatu membuat laporan polis ke atas media rasmi PKR berkenaan semalam.

Tiada tolak ansur

Mengulas lanjut secara sinis, Fahmi berkata Bersatu dan PN ketika ini berdepan dengan nasib malang, seperti sudah jatuh ditimpa tangga.

Hal itu kerana, kata ahli parlimen Lembah Pantai terbabit, sesudah gagal mempertahankan kerusi DUN Nenggiri di Kelantan pada Sabtu lalu kini Muhyiddin - yang juga pengerusi PN - disiasat polis.

Untuk rekod BN berjaya merampas kembali kerusi DUN yang terletak di bawah kawasan parlimen Gua Musang itu dalam PRK Sabtu lalu.

Calon mereka, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, mengatasi calon PN, Mohd Rizwadi Ismail dengan majoriti besar 3,372 berbanding apa yang dicapai parti terbabit dalam pilihan raya negeri tahun lalu, 810 undi.

Fahmi Fadzil menaiki teksi air di Putrajaya sebelum mengadakan sidang media hari ini

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai seorang bekas ahli parlimen PKR yang disiasat berhubung dakwaan gangguan seksual di Kota Damansara, Selangor, Fahmi berkata, parti menyerahkan isu tersebut kepada polis untuk tindakan sewajarnya.

"Apabila bercakap mengenai isu seperti gangguan seksual, ia adalah antara perkara yang kami tidak akan tolak ansur.

"Kita tidak boleh bertolak ansur dengan perkara sebegini.

"Dan mengenai kes itu, ia dalam siasatan polis dan parti serta kerajaan belum mendapat maklumat terperinci.

“Justeru kita serahkan kepada polis untuk menyiasat,” katanya.