ULASAN | Bilakah momok DAP akan mati?
Nenggiri sudah dimeterai. Sudah ramai penganalisis menulis menyampaikan sisi pandang masing-masing dengan meninjau sebab dan akibat kekalahan Perikatan Nasional di kerusi sendiri, di negeri yang menjadi kubu kuat mereka. Tidak mudah untuk merampas kerusi daripada Perikatan Nasional ketika gelombang hijau masih diperkatakan, meskipun magnitudnya boleh dipersoalkan pada ketika ini. Di Nenggiri, sejak awal lagi rakan seperjuangan Umno-Barisan Nasional dalam kerajaan perpaduan iaitu DAP sudah ditegah secara lemah lembut dan sopan santun daripada menyertai kempen pilihanrayanya.
Kelab Veteran Umno antara yang paling awal ‘mencadangkan’ supaya DAP tidak menyertai kempen di Nenggiri kerana “kehadiran DAP mungkin mengelirukan pengundi dan dieksploitasi pembangkang, yang berpotensi memudaratkan kempen BN” (BHOnline, 26 Julai 2024).
Pengarah PRK Nenggiri, the master of Fox Caves, Ku Li juga meminta pemimpin DAP untuk menjauhkan diri. Kata Ku Li seperti yang disiarkan dalam BHOnline, “Apa untungnya? Dia ke sana dia buang masa dia dan dia buang masa kita. Orang Melayu di Nenggiri nak dengar pandangan orang Melayu terhadap orang Melayu di situ.”
Pada masa yang sama, dengan menghormati kerjasama dan memahami sentimen pengundi, DAP turut mengeluarkan kenyataan untuk tidak menyertai kempen di Nenggiri. Setiausaha Agungnya, Anthony Loke, tidak melatah dan tenang sahaja, kerana sememangnya DAP tidak diperlukan di Nenggiri atas sebab pecahan komposisi kaum yang tidak signifikan kepada penyertaan DAP di sana.
Walau bagaimanapun, seperti yang dijangkakan oleh UMNO-Barisan Nasional, pembangkang memang menunggu masa untuk menggunakan modal DAP. Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, dipetik berkata, “Pasal apa tak mari, orang Sungai Terah nak kenal DAP. DAP ini tiada semangat setiakawan. Kawan tengah susah ketika ini, mari pun tidak.”
Nakal usikan Timbalan Presiden PAS tersebut yang arif benar dengan psike orang Melayu yang alergi dengan DAP. Kalau benarlah kehadiran DAP dapat membantu calon lawan kepada Perikatan Nasional, masakan beliau tergamak mengundang padah untuk kalah? Beliau menyeru DAP bukan untuk membantu Umno, tetapi untuk meranapkannya.
Sokongan DAP membawa rebah, bukan membawa tuah.
Makalah ringkas ini sebenarnya berhasrat meninjau keberadaan DAP sebagai momok paling popular dalam arena politik negara ini. Sejak 1969, DAP yang dilabel sebagai butir tahi PAP Singapura itu, menjadi momokan yang sangat berkesan bagi menjauhkan atau memecahkan undi orang Melayu terhadap sesuatu parti atau gabungan parti. Pada masa yang sama, kita juga perlu mengakui bahawa ramai pemimpin DAP yang pandangannya menongkah arus, melawan status quo. Gagasan Malaysian Malaysia; debat budaya kebangsaan antara Lim Kit Siang dan Prof. Syed Naquib al-Attas; serta pertentangan dalam isu hudud merupakan topik panas yang membakar suhu politik Malaysia dan menanamkan perasaan prejudis orang Melayu terhadap parti DAP.
Gagasan Malaysian Malaysia dilihat sebagai cubaan untuk menyanggah kedudukan istimewa orang Melayu; debat budaya kebangsaan merupakan usaha DAP untuk merendahkan budaya orang Melayu; manakala penolakannya terhadap hudud pula merupakan luahan kebenciannya terhadap Islam. Dialog popular mendiang Karpal Singh menolak hudud, “over my dead body!” pada tahun-tahun 90- an diulang tayang dan dijual selaku-lakunya. Demikianlah imej DAP yang diprojeksikan selama puluhan tahun.
Ketika zaman Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri keempat, hampir setiap hari media massa yang ketika itu bertumpu kepada RTM, TV3 dan beberapa akhbar arus perdana, menyiarkan ‘bahaya DAP’ dalam kerangka persaingan kuasa antara DAP dengan MCA. Jika DAP dihodohkan, orang Cina akan berpegang teguh kepada MCA, dan pada masa yang sama orang Melayu akan kekal memandang jelek kepada DAP.
Demikianlah DAP, sebuah parti yang berdaftar secara rasmi pada tahun 1966, dimusnahkan imejnya dengan menggunakan segenap alat propaganda kerajaan yang memerintah. Proses yang diulang-ulang selama lebih 50 tahun itu berjaya menguasai pemikiran orang Melayu yang akhirnya memandang DAP sebagai momok atau hantu yang ngeri dan jelek. Asal bunyinya DAP mesti buruk, mesti ada agenda tersembunyi, dan ada rancangan untuk mengambil alih negara kita ini secara halus dan terancang.
Penulis juga termakan dengan propaganda tersebut dan selalu berharap supaya parti ini diharamkan dan pemimpinnya yang subversif diambil tindakan undang-undang. Masakan kita bisa membiarkan anasir sebegini bebas bergentayangan mempengaruhi warganegara kita?
Malangnya dalam penantian tersebut, yang diharamkan adalah parti Umno, bukan DAP, meskipun ramai pemimpin DAP pernah ditangkap dan dipenjarakan dalam Ops Lalang 1987 yang terkenal itu. Mengapa tidak diharamkan DAP ketika itu? Kalau ia benar bahaya dan membahayakan, maka membiarkan ia bebas aktif adalah perbuatan yang mengkhianati bangsa dan negara ini secara terang-terangan. Tetapi tetap juga ia tidak berlaku. Kerana apa?
Kerana politik kita perlukan momok. Kerana parti-parti politik perlukan sesuatu untuk menakut-nakutkan pengundi. DAP diperlukan bagi menerapkan ketakutan, politics of fear.
Namun, realiti politik dan dinamika politik berubah. Sesiapapun boleh berkata apa-apa sahaja, tetapi akhirnya ia perlu tunduk dan akur kepada kehendak semasa. Selepas 1990- an, akhirnya PAS sendiri sebagai sebuah parti Islam yang paling bermusuhan dengan DAP, menerima dan berpakat dengan DAP dalam suatu gabungan politik yang dinamakan sebagai Barisan Alternatif.
Sebelum itu, pada tahun 1990, Ku Li juga, di bawah panji Parti Melayu Semangat 46 (S46) berpakat dengan DAP atas label Gagasan Rakyat. Ku Li berpakat dengan PAS atas nama Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan pada masa yang sama dengan DAP dalam Gagasan Rakyat. Daripada perhubungan yang longgar dalam APU-Gagasan Rakyat, kemudian Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat, ternyata DAP diterima menjadi rakan kerjasama politik, atau dalam istilah yang lebih menyentuh hati ‘tahaluf siyasi’ atas dasar dinamika politik semasa. Ketika itu, Umno-BN kekal menghentam DAP, tetapi S46 dan PAS menjadi pendinding yang mempertahankan DAP.
PAS dan DAP membuktikan bahawa mereka boleh berkerjasama atas kepentingan yang sama. Hilang segala ketakutan dan kebencian. PAS mempertahankan DAP daripada segala kecaman dan serangan musuh politik mereka. Kemudian iklim politik kita berubah lagi. Pada tahun 2018, DAP berkuasa tanpa ikatan dengan PAS atau Umno, lalu ia menjadi sasaran kebencian akibat gabungan PAS dan Umno. DAP kembali menjadi hantu yang busuk dan buruk. Kemudian, berlaku lagi perubahan, sehingga pada November 2022, usai PRU-15, giliran Umno pula untuk menerima DAP sebagai rakan kerjasama “demi” menubuhkan sebuah kerajaan yang stabil.
DAP disucikan sekali lagi, kali ini oleh Umno pula. Secara teknikalnya, Umno berjaya membentuk kerjasama dengan DAP, tetapi secara moral dan psikologi, terbukti ia masih belum mampu menanamkan keyakinan kepada para penyokongnya bahawa “DAP bukanlah sejahat yang dituduh selama ini.”
Ini berbeza dengan PAS yang pernah berjaya meyakinkan para penyokongnya untuk menerima DAP setulus hati, atas prinsip wala’ PAS yang tertancap kemas dalam diri para pengikutnya.
Perihal yang berlaku hari ini adalah natijah daripada kebencian dan prejudis yang ditanam sejak puluhan tahun yang lalu. Ketika berpolitik, mereka berpolitik berlebih-lebihan, sehingga ketika bergabung, mereka jadi malu-malu alah untuk berdakapan.
Akibat propaganda berterusan selama ini, Umno menghadapi masalah yang besar dengan ahlinya untuk menerima DAP sebagai rakan yang sama-sama membentuk kerajaan. Sesiapa yang mengeluarkan kenyataan membela akan dianggap sebagai pengkhianat bangsa atau paling ringan pun sebagai barua DAP. Orang putih kata, “taste your own medicine.”
Ketika ini, sedang Umno berbaik-baik dengan DAP, parti PAS pula sedang galak memomokkan DAP tanpa henti-henti. Percayalah, dengan struktur ikatan politik kita yang belum benar-benar mantap ini, esok-esok boleh jadi PAS juga berkerjasama dengan DAP, dan ketika itu kita dapat mendengar pula segala dalil dan alasan bagi mewajarkannya.
Tidak ada yang mustahil dalam politik. Selagi namanya politik pilihan raya, semua parti politik akan berubah mengikut keadaan dan keperluan semasa. Yang berubah akan berjaya, yang jumud akan luput. Dalam bercinta biar ada batasnya, dalam membenci biar berpada-pada.
SAHUL HAMID MOHAMED MAIDDIN ialah pensyarah kanan Jabatan Sejarah UPSI.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai