Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Mata cedera ketika protes: Aktivis PSM saman pegawai PTG Perak

Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), Chong Yee Shan mengheret Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak ke mahkamah atas kecederaan yang dialaminya semasa protes pada Oktober tahun lalu.

Kecederaan tersebut termasuk kecederaan pada mata yang boleh menjejaskan penglihatannya secara kekal melainkan diperbetulkan melalui pembedahan yang berisiko tinggi.

Bercakap pada sidang media hari ini, Chong memberitahu pemberita dia tidak menyangka kecederaannya akan menjadi begitu serius selepas kejadian pada 24 Oktober 2023.

Kata Chong, dia telah dinasihatkan untuk menjalani pembedahan bagi memperbetulkan penglihatannya, tetapi jika pembedahan itu gagal, dia boleh menjadi buta.

Selepas mempertimbangkan pilihannya, dia memutuskan untuk hidup dengan keadaannya sekarang yang terjejas penglihatan dan tidak menjalani pembedahan.

"Kalau saya buat pembedahan akan ada risiko yang tinggi menyebabkan saya boleh menjadi buta…

“Jadi lepas saya berunding dengan dua orang doktor dan juga dengan (Pengerusi PSM) Dr Jeyakumar Devaraj saya buat satu keputusan bahawa saya tidak meneruskan untuk dibedah.

"Saya buat satu keputusan bahawa saya tidak teruskan buat pembedahan.

"Sebab walaupun memang kecederaan tersebut telah dan akan membawa satu kesan seumur hidup kepada saya tetapi berbanding dengan saya menjadi buta seumur hidup, saya rasa saya boleh tahan lah dengan efek yang sekarang tengah alami," katanya," katanya pada sidang media di pusat perkhidmatan PSM di Perak.

Gambar fail, Pengerusi PSM Dr Jeyakumar ketika pengusiran petani di Kanthan, Tambun.

Sebelum ini dilaporkan Chong mengalami kecederaan pada orbit kanan (soket mata) dan patah pada bahagian berhampiran hidung serta mengalami masalah penglihatan berganda apabila melihat ke arah tertentu.

Saman Chong difailkan pada 16 Julai melalui firma Raj, Ong & Yudistra.

Saman itu menamakan Pegawai Penguatkuasa Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak, Mohd Sukairi Saidi, PTG Perak dan pengarah PTG Perak sebagai defendan.

Saman tersebut telah diserahkan kepada ketiga-tiga pihak pada 2 Ogos manakala Mahkamah Sesyen Ipoh menetapkan 26 Ogos untuk pendengaran kes.

Gambar fail, petani Kanthan membantah pengusiran.

Chong berkata dia akan membiarkan mahkamah menentukan jumlah pampasan yang sepatutnya dia terima.

Tahun lalu, Chong bersama aktivis PSM lain sedang membantah tindakan PTG Perak mengusir enam petani di Kanthan, Tambun apabila dia didakwa ditolak oleh seorang pegawai PTG menyebabkan dia jatuh dan mengalami kecederaan.

Dia kemudiannya ditangkap ketika membuat laporan polis mengenai kekasaran yang didakwa berlaku, dan didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana dituduh menghalang tugas penjawat awam.

Chong mengaku tidak bersalah dan telah dibenarkan jaminan dengan bon RM1,500 dan seorang penjamin. Perbicaraan telah dijadualkan pada 9 dan 10 Disember.

Bercakap mengenai insiden itu pada sidang media yang sama, Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan, mengkritik polis kerana menangkap dan mendakwa Chong selepas dia membuat laporan polis, bukannya memperlakukan Chong saksi dalam kes kecederaan yang disebabkan oleh tindakan pegawai penguatkuasa.

Dia berkata inilah sebabnya Malaysia perlu mempercepatkan pemisahan Pejabat Peguam Negara dan jabatan pendakwa raya untuk memastikan penguatkuasaan undang-undang tidak berpihak.

"Saya fikir apabila Chong membuat laporan polis, dia ialah mangsa. Polis sepatutnya menyiasat perkara itu.

Kejadian di kawasan PMX

"Dalam kes ini, polis telah mengambil jalan mudah. Mereka mungkin telah mengambil apa-apa laporan yang dibuat terhadapnya […] Dalam kes ini, walaupun PTG membuat laporan, mereka (polis) mungkin menganggapnya sebagai kebenaran mutlak.

"Mereka segera menangkapnya. Dia sepatutnya menjadi saksi, bukan tertuduh," katanya.

Mengenai petani yang berdepan pengusiran, Arutchelvan berkata kejadian itu berlaku di kawasan Parlimen Tambun yang diwakili Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Jika perkara ini tidak diselesaikan dengan segera, dia berkata PSM merancang untuk membawa perkara ini ke Pejabat Perdana Menteri.

[Baca berita asal]